• LinkedIn
  • Join Us on Google Plus!
  • Subcribe to Our RSS Feed

Monday, September 21, 2009

Penulis Muda, Cabaran & Idealisme

Monday, September 21, 2009 // by Azmah Nordin // 2 comments

(sdr2 sekalian :) semoga artikel saya yang telah terbit dlm majalah WADAH, edisi Jan 2012 ini, dpt memberi manfaat utk kita bersama.)

 Seringkali saya terdengar pelbagai pertanyaan dan keluhan penulis muda, antaranya; (a) bagaimanakan mahu mencari kekuatan untuk menyiapkan sesebuah karya? (b) Kenapa karya mereka yang digarap dengan begitu sempurna dari segi teknik penulisan dan gaya bahasa, ditolak bulat-bulat, sedangkan karya penulis mampan terus diburu oleh penerbit tersebut? Kenapa penulis mampan lebih mudah dapat laluan karyanya diterbitkan, dibandingkan dengan karya-karya penulis muda?  

Agak lama saya memikirkan bagaimana hendak menjawab soalan penulis-penulis muda ini. Sekali gus memikirkan apakah saya perlu turut berpolemik tentang posisi dan takrif penulis muda itu lagi ataupun tidak. Kerana semua orang sudah tahu bahawa penulis muda itu tidak mengira usia tetapi lebih fokus kepada usia kepengarangannya dalam bidang kreatif atau penulisan. Kalau seorang penulis itu sudah menulis dan menghasilkan beberapa buku contohnya, kita tidak boleh melabelkan beliau sebagai penulis muda walaupun usianya muda belia, tapi umur kepengarangannya sudah semakin matang.

 Dalam erti kata yang lain, penulis yang berusia muda ini, jika dalam penghasilan buku, sudah ditakdirkan lebih dahulu `makan garam’ daripada penulis yang berusia lanjut tetap baru mulai berjinak-jinak dengan dunia kepenulisan ini. Biar dalam usia apa pun, menghasilkan karya kreatif bukan suatu kerja yang mudah, itu yang pasti. Saya lalu kembali kepada persoalan (a) daripada penulis-penulis muda tadi. Sebagai jawapan, kiranya elok saya perturunkan semula 10 petuanya di sini; 

1. Tentukan masa untuk menulis dan anggaplah sebagai sesuatu yang suci; mcm memenuhi tanggungjawab apabila masa solat tiba. Begitulah tanggungjawab memenuhi waktu menulis. Masa yang sesuai yang dirasai masa anda paling kreatif – lewat malam? Dinihari? Subuh? Atau mengikut waktu pejabat biasa (macam yang saya lakukan?) Ataupun, anggaplah masa yang anda janji pada diri sendiri itu, macam masa yang anda janjikan utk memenuhi `dating’ dengan kekasih; mesti dipenuhi, mesti diutamakan, kalau tidak putus cinta. Kalau anda tak cinta, tak kisahlah kalau putus sekalipun kan? Anda malah mungkin sengaja cari pasal atau alasan untuk tidak meneruskan perhubungan itu. Tapi kalau anda sangat-sangat cinta...? 

2. Jauhkan diri atau ketepikan segala bentuk gangguan; tekan punat off pada peti televisyen. Silent/senyapkan telefon bunyi telefon, hanya jawab sms setelah anda siap tugasan (penulisan) pada hari itu. Tetapkan masa menulis semasa tiada orang di sekeliling anda. Atauun, macam saya, sumbatkan telinga dengan ear phone dan mainkan muzik drpada mp3 dengan sekuat yang boleh, supaya anda tidak terganggu dgn sebarang bunyi lain di sekitar anda.

 3. Pastikan hala tuju plot/jalan cerita anda. Biarpun plot, watak2 dan ceritanya mungkin akan berkembang pesat - hala tuju (mesej) tetap sama.

 4. Jangan tergugat melihat skrin computer anda yang kosong. Tulis saja apa yg terlintas dalam fikiran anda, tak perlu fikir tentang salah ejaan, salah tata bahasa dll lain-lain, kerana itu semua boleh diedit-perbaiki kemudiannya. Yang penting ceritanya dulu, biar mengalir macam sungai. Mulakan dari gelojak perasaan watak utamanya atau dari satu babak memalukan/memilukan/menyayat hati/menyeramkan/menggetarkan yg disusuli dengan imbas balik demi imbas balik sehingga terungkai mengapa ia boleh berlaku. Gunakan formula 4/5 daripada keseluruhan cerita, untuk memulakannya.

 5. Dari bab ke bab, pasti anda sudah ada buat draf secara mental. Tiada satu pun yang anda tulis akan kekal atau tidak boleh dipadam, selagi ia belum dihantar kepada penerbit atau sudah terbit. Apatah lagi jika manuskrip itu masih berada dalam tangan sendiri, anda boleh mengubah-perbaiki pada bila2 masa saja. Jadi, jangan ganggu pengaliran ceritanya semasa anda perturunkan ke atas skrin computer. Jika ada tidak berpuas hati dengan ejaan, jalan cerita, gaya bahasa dan sebagainya, ia boleh diubah kemudiannya. 

6. Jangan berasa anda perlu memulakan cerita dari titik permulaan atau mengikut urutan kronologi atau terlalu bergantung kpd draf asal novel anda. Masuk sepenuhnya ke dalam jiwa watak-watak utama yang menghadapi konflik hidup itu, dan gambarkan sepenuhnya dr sudut pandangan watak-watak tersebut. Kenali jiwa/perasaan/psikologi/kerjaya watak-watak utama anda dengan mendalam, supaya anda tidak berasa tertekan hingga tersangkut dalam proses penciptaan kreatif anda nanti.

 7. Berkaryalah tentang sesuatu yang anda suka, ini untuk mengelakkan daripada anda menghadapi buntu pemikiran atau Writers Block.

 8. Ulang kaji dan edit berulang-kali. Ini perlu dilakukan, setelah karya anda siap ditulis. Anda boleh tambah-cantikkan bahasa, susun-indah-kmplekkan ayat-ayat anda. Mana yang tidak berkaitan atau longgar, anda hanya perlu padam/delete daripada menyemakkan manuskrip novel anda. . 

9.Jangan ragu-ragu meletakkan diri anda di kalangan penulis lain. Buat satu senarai penulis yang baru menghasilkan beberapa buku-ragu secara sederhana saja mutunya, dan berkatalah pada diri sendiri `jika dia boleh buat, aku juga boleh – malah jauh lebih baik dariapda dia.’ Apa yg membezakan anda dengan si penulis itu, adalah kesungguhan mereka utk menghasilkan karya demi karya, dan jika mereka boleh, anda juga boleh, bukan? Sudah tentu akan ada ulasan dan krikan terhadap karya anda, begitu terbit nanti. Itu biasalah. Lagipun, hanya karya yang baik saja yang akan mendapat perhatian utk diulas atau dikritik – yang tidak baik, diabaikan, seolah-olah tidak pernah wujud. Jika ramai penulis top yg sanggup melalui pelbagai kritikan terhadap karya mereka – knp pula anda tidak, bukan? 

10. Hanya anda yang boleh menentukan sama ada karya anda sudah siap ataupun belum. Biarpun anda mungkin akan menunjukkan manuskrip anda kepada rakan2 yang memang pakar dlm penulisan kreatif – dan sebagai kawan, tentulah dia akan memuji karya anda utk menjaga hati – kerana itu adalah tugas mereka. 

Yang paling baik, adalah dengan menghakimi karya sendiri. Pemisah antara karya bermutu dengan tidak bermutu hanya satu – diri anda. Jadi, tentukanlah bila atau bagaimana anda mahu melihat karya anda lahir. Untuk persoalan b); Kenapakah karya yang setengah mati mereka garap dengan begitu sempurna teknik dan gaya penulisannya, ditolak bulat-bulat oleh pihak penerbitan, sebaik siap dinilai? Sekali lagi saya termenung panjang memikirkannya. Ya, kenapa karya yang ditulis proses penciptaannya, boleh ditolak mentah-mentah oleh pihak penerbit?

 Segera saya kembali ke zaman silam, 20 tahun yang lalu, semasa saya masih di tahap penulis muda.. Waktu itu, sama macam penulis muda sekarang, saya juga selalu penuh dengan gelojak, selalu saja andrenalin terpacu bukan alang kepalang, semangat juga meluap-luap untuk bangkit dan memperjuangkan nasib mereka yang saya anggap teraniaya oleh pihak-pihak tertentu - lewat penulisan. Apa yang buat semangat juang saya hidup dengan sebegitu rupa, sebenarnya?

 Sekelip lintasan menjelma. Segera saya ingat; Perjuangan! Dan setiap perjuangan itu tentulah berpaksikan kepada sebuah idealisme atau sebuah cita-cita besar pengarangnya! Bukankah itu yang dilakukan oleh setiap pengarang-pengarang Berjaya dan besar, selama ini? Yang pasti, sama ada sedar mahupun tidak, dalam kehidupan setiap insan – biar dalam bidang apa pun yang diceburi - mempunyai idealism atau sebuah cita-cita besar yang perlu dicapai sebagai tujuan hidupnya. Berniaga, berpolitik, hidup bermasyarakat, berbangsa yang berbudaya dan malah berkarya juga harus memiliki semangat idealisme yang jitu. Ini kerana mereka tidak sudi kewujudan mereka yang hanya sekali di dunia ini hanya sekadar pak turut semata-mata. Ini soal energi positif yang kita gelar idealism. Ini soal harga diri.. 

Hanya dengan dengan idealisme, seseorang pengarang akan memiliki prinsip hidup dan keteguhan diri untuk menegakkan idealisme itu dalam kehidupan sehari-hari. Hidup (yang dipersembahkan lewat karya) tanpa idealisme bak lauk pauk tanpa garam, tawar, dan hambar rasanya. Seorang pengarang tanpa idealism yang disalurkan lewat karyanya, ibaratkan sebuah mesin yang bergerak setiap saat, hanya untuk melaksanakan tugasan harian secara rutin – tanpa sebarang makna, sama ada kepada dirinya ataupun kepada masyarakat lingkungan, bangsa mahupun negara. 
Di jiwa para pengarang yang mempunyai idealisme, lazimnya membuak-buak dengan semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan lewat karya mereka. Berbeza dengan pengarang yang biasa-biasa, pengarang idealis lazimnya adalah seorang yang gigih mengasah bakat tanpa henti, bercita-cita besar dan tinggi, rajin belajar dan terus belajar memperbaiki kelemahan diri dan memperkukuhkan keupayaan dirinya dalam cara mempersembahkan perjuangan lewat karya penulisan kreatifnya, dengan agar mesej yang mengandung harapan untuk melihat pembaharuan dan perubahan, sampai kepada khalayak pembaca. (mungkin kita boleh bicara tentang idealisme ini, dengan lebih terperinci, dalam lain artikel) Jadi, kenapa karya yang begitu baik dari sudut proses penciptaannya dan sempurna pula dari sudut idealismenya, juga ditolak mentah-mentah oleh penerbit alas an tidak boleh jual? 

Barangkali, sebagai pengarang, kita perlu melihat dari sudut penerbit juga. Perlu sedar sepenuhnya bahawa buku adalah industri, bukan sekadar romantisme menuangkan seluruh gelojak perasaan dan buah fikiran yang meledak-ledak itu, ke dalam karya kita. Dan sebagai sebuah industri, sudah tentu pihak penerbit akan berfikir dari sudut perniagaan; bukan semata-mata dari segi pulangan keuntungan yang berlipat ganda, tapi dari sudut perundangan andainya karya kita yang mereka terbitkan kelak, menyentuh isu-isu sensitive dan menerbitkan kemarahan pihak-pihak tertentu.

 Wah, apakah itu bermakna seorang pengarang perlu korbankan idealism, semata-mata untuk melihat karya kita terbit di penerbitan tersebut? Sama sekali tidak. Pengarang tersebut harus berpegang teguh pada idealismenya. Cuma cara mempersembahkan mesej kita itu saja, yang perlu diperhalusi. Bukankah penulis penulis karya kreatif sastera? Berkreatiflah secara sastera. Banyak cara untuk mengatasinya, misalnya, dengan menulis cerpen atau novel satira. Secara tidak langsung, tiada seorang pun boleh menuduh atau mendakwa kononnya kita `menyerang’ peribadi sesiapa ingin kita `lawan.. Siapa makan cili, dia terasa pedas sendiri. Andainya dibaca oleh peribadi berkenaan pun, dia tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarang ataupun penerbit yang menerbitkan karyanya, kerana ia sama sekali tidak menyebut tentang nama peribadi, jawatan, jabatan, kaum, negeri asal peribadi berkenaan dengan jelas.

 Malah, jika dia cuba mengambil tindakan undang-undang pun, bermakna dia sengaja membuka pekung di dadanya sendiri – sebab bukan semua orang tahu akan perbuatan jeliknya bukan? Dan untuk soalan (c) (d) Kenapa penulis mampan lebih mudah dapat laluan karyanya diterbitkan, dibandingkan dengan karya-karya penulis muda? Jawapannya mudah saja; sebelum penulis mampan itu menjadi penulis mampan, dia terlebih dahulu melalui detik-detik getir yang dilalui oleh setiap penulis muda sekarang. Dia belajar daripada kesilapan, dan berusaha memperbaiki diri dalam proses penciptaannya agar memenuhi piawaian pihak penerbit. Dia belajar memahami bahawa antara pihak penerbitan (terutama sekali para editor) hubungannya perlu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan. Dia belajar bahawa tiada sesuatu pun yang mudah diperolehi - berbaloi atau tahan lama. Kerja keras, termasuk memaksa diri untuk terus berkarya terus adalah antara ramuan untuk menjadi seorang pengarang mampan. 

Jadi, sekarang tiada lagi cabaran maha berat lagi menggerunkan penulis muda, bukan? Pasti anda pernah mendengar pepatah dalam bahasaInggeris; `publish or perish’, `publish’, bermakna karya anda diterbitkan oleh pelbagai pihak media massa untuk dibaca, dihayati dan dinikmati khalayak pembaca, atau `perish’, yang bermakna akan hilang begitu saja, tanpa diterbitkan. Andainya karya anda diterbitkan dibaca khalayak pembaca, bermakna anda sudah pun berjaya berkongsi idealisme dan menyampaikan mesej yang anda perjuangkan itu. Terserah kepada pembacalah untuk meneruskan perjuangan itu. Anda sudah laksanakan tanggungjawab di bahagian anda. Selagi anda menghasilkan karya dengan nawaitu yang murni (menegakkan keadilan, memperjuangkan nasib mereka yang teraniaya dan sebagainya), selagi itu hayat kepengarangan anda akan berpanjangan hingga ke penghujung usianya, insya Allah.

 Untuk itu, menulislah dan gigih terus k! 

2 comments:

  1. Terima kasih sifu,
    Dahsyat! Memang dahsyat kesannya setelah saya baca danhadam isi yang tersurat dan tersirat dalam artikel sifu ini...

    ***artikel ini seperti satu rawatan mujarab bagi saya yang terpijak duri di laluan berkarya ini...hehe

    Apa pun jua, rasanya setiap orang daripada anak-anak didik sifu pasti mendapat banyak kebaikan dari artikel ini. Terima kasih sifu.

    ReplyDelete
  2. ainiii :)

    nanti, terima kasih. sebenarnya, dalam apa pun perjuangan, jika tidak seratus peratus komited, tidak akan sampai ke mana. ini termasuk utk saya juga, jika tak terus berjuang, saya juga akan terkubur begitu saja dr dunia penulisan kreatif.

    agi idup agi ngelaban aini!

    ReplyDelete