• LinkedIn
  • Join Us on Google Plus!
  • Subcribe to Our RSS Feed

Tuesday, August 6, 2013

Jerung Bursa

Tuesday, August 06, 2013 // by Azmah Nordin // 13 comments

(sdr2 sekalian, sprti yg dijanjikan kpd Sdr Abdul Razak kita, bersama2 ini saya kongsikan bersama2 cerpen terbaru saya yg telah terbit di Dewan Sastera, Sept 2011 baru2 ini. I love U DBP!)

Jerung Bursa oleh; Azmah Nordin

Bagai dikejar jerung bursa, Rokiah yang meredahi pusaran angin yang meliar kencang itu, mempercepatkan langkahnya menghala ke arah pondok jeti, di pinggiran pantai pulau Sumatrajaya. Terasa amat betapa pusaran angin kencang itu tak ubah seperti gosip liar yang menjanjikan sebuah malapetaka bagi mereka yang menggunakan pengangkutan laut. Lebih kurang macam pusaran gossip liar di lantai bursa, yang juga menjanjikan sebuah malapetaka bagi para pelaburnya. Jelasnya, gossip (bagi wanita yang sebaliknya bagi lelaki dianggap sebagai `intelligent’, jika orang lelaki yang melakukannya.) adalah nama `permainannya’ dan Dagangan Dalaman (yang sepatutnya menjadi rahsia sulit – tapi dimanfaatkan sepenuhnya juga) adalah sumber informasi, yang paling kukuh dalam dunia bisness. Apakah tanpa gossip atau dagangan dalaman, bererti tiada perniagaan?

13 comments:

  1. Huh! Dengusnya. Entah mengapa, terasa seperti sedang melangkah di atas titian gelembung demi gelembung buih yang terus menjelma di ruang matanya fikirnya. Seperti jelmaan gelembung-gelembung buih yang menempal ketat bak diperbuat daripada kaca yang disinari matahari, mengarah ke haluan yang bertingkat-tingkat, menembusi silik bursa, menanjak ke angkasa. Suasana di lantai bursa itu tidak ubah seperti suasana di neraka berbuih pelangi, di tengah-tengah belantara batu. Terkepung oleh deretan taring serigala wang dan jerung bursa, menunggu dan mengancam. Berapa ramaikah tenaga para remeiser atau broker melonjak-lonjak naik dari satu gelembung ke gelembung yang lain, tergelincir jatuh sekali gus mengheret para pelabur yang mereka wakili? Berapa ramai?

    Rokiah yang bertubuh sederhana tinggi, bertocang rambutnya, berbaju kurung warna merah darah yang dipadankan dengan blazer gelap pada tubuh yang berkulit cerah dalam usia lewat tiga puluhan itu, mengeluh singkat, menggeleng lemah. Ternyata, perjalanan laut yang menderakan dari Bongawan ke Pulau Sumatrajaya tiga hari yang lalu, mengambil masa 3 jam untuk sampai. Kini terpaksa dilalui semula untuk kembali ke Bongawan.. Malah, dengan angin yang berpusaran sekencangini, dan laut yang bergelora tidak keruan itu, perjalanannya pulangnya kelak pasti akan menjadi bertambah panjang, berbahaya dan menyeksakan. Masalahnya, jika tidak diteruskan perjalanan yang mungkin akan mengakibatkan dia dimangsai jerung tulen andainya bot pompa yang ditumpangi itu pecah dan lalu tenggelam dilanda angin kencang di tengah lautan, dia pasti akan dimangsai jerung bursa yang mungkin sedang memburu untuk memangsai itu. Disedari amat, perjalanan laut tidak semudah dan seselesa perjalanan udara yang digunakan Datu Ukau yang hanya mengambil masa setengah jam untuk berulang alik ke destinasi yang sama,

    ReplyDelete
  2. "Hancus, hancuuus...!”..."selintas uncapan yang bak gelembung udara yang keluar dari mulut di hujung kepala ikan laut yang tercungap-cungap kelemasan di daratan dan lalu meletus pecah di udara, terngiang-ngiang kembali di benaknya.
    Rokiah memberengut kengerian. Langkahnya terhenti di tepi pintu pondok jeti, disentak bingung oleh bunyi seperti gelembung demi gelembung meletus pecah di gegendang telinganya. Dengan penuh debar, diliarkan pandangan di persekitarannya, dengan doa agar tiada sesiapa yang sedang aktif memburunya. Sepantas itu, sekelip lintasan menjelma lagi. Ingatannya terus bercelaru diterjahi jeritan, raungan, sumpah seranah dan maki hamun dari warga-warga tua yang menjadi pemilik sijil-sijil saham yang dilaburi lewat para remiser (wakil jualan utama) atau broker dari Konsultan Kewangan AZ, sama seperti yang dilakukan oleh ibu kandung Rokiah sendiri.. Terutama sekali mereka yang terdiri daripada para pesara atau balu kepada ahli perniagaan yang meninggalkan urus niaga bisnesnya kepada balunya, juga seperti ibu kandung Rokiah sendiri.. padahal, bukan sesuatu yang rahsia pun; warga tua (terutama sekali wanita) adalah sasaran utama para remeiser atau broker yang menjadi wakil jualan bagi firma-firma kewangan mereka seperti firma Konsultan Kewangan AZ. Warga-warga wanita seperti ini punya wang, asset, pelaburan, tanah kampung yang disimpan di mana-mana dan sebagainya, seperti ibunya. Bukankah warga-warga wanita seperti inilah yang lazimnya, mudah dipujuk rayu jiwa mereka oleh para pakar daripada institusi-institusi kewangan, termasuk jiwa ibunya?

    Aduuuh...! bagaimana ibunya boleh begitu mudah terpengaruh dan terjebak dalam ngeri ini? Bagaimana? rintih hatinya, rusuh. Begitu dia mengisari pandangan pada beberapa orang yang keresahan memerhatikan para pengemudi bot pompa yang keberatan bertolak dalam angin yang berpusaran kecang itu, dan serentak terasa pergerakan dirinya diintip-pantaukan oleh pihak berkuasa yang mewakili suruhanjaya penyiasatan itu lagi, dengan penuh wasangka dan prasangka! Lebih kurang dengan perasaannya ketika dia berada di bilik kebal bank Sumatrajaya, dua hari yang lalu. Bimbang akan keselamatan diri sendiri andainya setiap kegiatannya terus dipantaui dan diteropongi lewat kamera litar tertutup (CCTV), seperti yang berlaku di pintu masuk utama repository bank yang setiap urusan keluar masuk memerlukan mereka yang mempunyai urusan diwajibkan mendaftar dua kali. Itu tidak termasuk untuk memasuki bilik kebalnya yang memerlukan dia melalui tiga pintu, utama repository, pintu bilik besi dan pintu kebal. Malah, ketika dia dibawa masuk oleh pegawai bank untuk membuka peti besi milik Konsultan Kewangan AZ tadipun, mereka diwajibkan membuka peti besi itu dua kali dengan 2 anak kunci yang berbeza. Satu kunci daripada pegawai bank lelaki separuh baya yang kelihatan serba segak bergaya itu, sementara satu lagi dengan kunci yang diserahkan Datu Ukau kepada Ayang, awal pagi tadi tadi.

    ReplyDelete
  3. Kemudiannya, sebaik selepas pegawai bank lelaki itu beredar pergi untuk memberikan Rokiah lebih ruang privasi di bilik kebal itu, dengan tangan yang terketar-ketar, dia menarik-keluarkan kotak kecil yang diperbuat daripada peti besi, dari dalam peti simpanan itu. Kotak kecil itu dibawanya ke petak peribadi yang jauh lebih kecil saiznya jika dibandingkan dengan ruang pejabat barunya di Konsultan Kewangan AZ yang terletak di pusat bandar Bongawan itu, di sepanjang tiga bulan yang lalu itu. Sepantas mungkin ditepisnya gambaran pejabat barunya itu dan segera diselak-telitikan setiap isinya. Aduh! Hampir separuh daripada sijil-sijil saham itu, adalah atas nama Rokiah yang Rokiah sendiri tandatangi di hadapan Datu Ukau yang mewakili Tuan Seri, pemilik firma Konsultan Kewangan AZ, dalam suasana yang begitu menjanjikan, begitu mengasyikkan, begitu menggoda - sementara selebihnya adalah sijil-sijil kosong yang tersusun kemas di atas susunan sijil-sijilnya.. Daripada apa yang tertera pada sijil-sijil itu, terbukti Rokiahlah satu-satunya active parti bagi pihak firma Konsultan Kewangan AZ. Sijil-sijil yang ditandatangi itu memperlihatkan seolah-olah, firma Konsultan Kewangan AZ yang memiliki asset jutaan ringgit itu, milik Rokiah seorang. Sekaligus memperlihatkan seolah-olah, semua dosa dan segala skandal kewangan di lantai pasaran bursa yang dibuat oleh firma Konsultan Kewangan AZ terhadap para pelabur yang tidak berdosa selama ini – dilakukan oleh Rokiah seorang! Hisy! Macamlah dia pernah menjadi broker di lantai bursa!

    Dan sekarang, apa yang berlaku? Kenapa tiba-tiba saja, terdengar khabar tentang `pemilik’ firma Konsultan Kewangan AZ sedang diburu pihak suruhanjaya penyiasatan itu? Hampir saja dia rebah dilantai bilik kebal, bagai diserang sakit jantung yang sebagaimana dialami ibunya, enam bulan yang lalu. Terasa amat betapa seluruh tenaga dalaman dan luarannya yang diperdaya untuk turut melonjak-lonjak di atas gelembung buih itu, tergelincir jatuh dihempuk kibaran seratus helai sijil saham Konsultan Kewangan AZ yang ditandatanganinya itu. Kini, dia bagaikan dituntut menyerah kalah bulat-bulat; sedangkan nasib ibunya yang terlantar nyawa-nyawa ikan dengan tubuhnya separuh tubuhnya lumpuh akibat serangan jantung, di atas katil hospital!

    ReplyDelete
  4. Bertenang, bertenang...! dia memujuk dirinya yang dlambung gelojak perasaan yang membuak-buak bak gelembung buih yang acap kali meletus pecah itu. Terbayang dia pada ibunya yang terlentuk kekecewaan dengan ketelanjuran sendiri. Teringat dia pada kata-kata peransang ibunya dahulu; Rokiah, kau adalah anak yang baik hingga kini menjadi wanita berusia lewat tiga puluhan yang manis, bermata bundar seperti arwah ayahnya dan senyuman yang menunjukkan bijaksanaannya dalam bidang yang dipilih, gigih menggeluti kerjaya di sebuah bank terkemuka, gigih memelihara anak-anak kucing terbiar yang memerlukan kasih sayangnya, sementara menungga saat dianugerai Illahi anak di rahimnya, mempunyai suami tercinta yang sangat memahami, mampu mandiri biarpun sang suami kerap ke luar negara atas urusan pentadbiran jabatan kerajaannya. Tapi, itu dulu, enam bulan yang lalu, di mana ibunya masih lincah bergerak ke sana sini, sambil-sambil memantau pengurusan restoran francais yang diwarisi daripada arwah ayah Rokiah. Malah, masih dapat dibayangkan kembali, bagaimana sesekali ibunya yang bertubuh kecil molek dan setinggi 4.5” dan sentiasa berjubah dan bertudung litup ke mana saja itu, mengikuti rakan-rakan ahli perniagaan yang lebih senang menyerahkan urusan perniagaan kepada pihak pengurusan, untuk bersama-sama berhimpun, asak mengasak, merenung papan elektronik raksasa atau monitr TV melalui pintu kaca di lantai bursa atau di syarikat broker saham di pusat Bandar Bongawan. Merenung dengan sunguh-sungguh, seolah-olah dapat melihat para broker dan remeiser yang terlonjak-lonjak di atas titian gelembung di udara. Mengujakan, bukan alang kepalang Mendebarkan, tiada taranya, pasti!

    “Ada rahsia yang ingin saya kongsikan bersama kamu...” ujar seorang remeiser, andai sempat berdua-duaan dengan mana-mana bekas pesara, di majlis-majlis perpisahan ataupun lewat panggilan telefon, lazimnya. “Rahsia tentang sesuatu yang perlu saya bincangkan dengan puan.. tuan... Sesuatu yang ada kemungkinan – puan... tuan... tentu lebih faham tentang perkara ini, kan? – untuk menjadi lebih besar daripada yang kamu harapkan... dan, ini mungkin menjadi jawapan kepada semua masalah kamu.. tapi ingat, ini adalah antara kita berdua saja, ya? Bagaimana, minat?”

    “Err.. errr... saya tak berapa pasti.. bagaimana kalau...” ujar mereka teragak-agak seperti ibunya, biasalah, bakal-bakal pelanggan memang begitupun, pada mulanya memang akan teragak-agak begitu. Kekeliruan, bimbang, tapi tertarik.

    “Tuan-tuan... pakcik-makcik.. jangan bimbang, saya akan jaga kamu...”pintas remeiser atau broker itu, berjanji begitu lagi, seperti biasa, setiap kali dia berhadapan dengan pelanggan atau bakal pelanggannya.

    ReplyDelete
  5. Sekurang-kurangnya, begitulah yang diceritai semula oleh ibunya kepada Rokiah, di antara nafas ibunya yang mendesah berat bak nyawa-nyawa ikan, sebaik-baik sedar dari pengsannya. Menceritai segalanya semula, apabila segalanya sudah terlambat, kemudiannya. Aduhai...! Mengapa ibunya begitu mudah tergoda, begitu mudah menyerahkan segala-gala (wang simpanan dalam akaun bank, hak milik restoran francais yang terkenal di seluruh dunia itu, tanah berhektar-hektar di sana sini dan sebagainya), hanya kerana termakan pujuk rayu para remeiser atau broker yang mewakili pihak Konsultan Kewangan AZ itu dahulu? Sungguh Rokiah tidak faham. Benarlah kata orang, bukan rahsia lagi bahawa kebanyakan warga tua memang selalu liat macam batang buluh tua. Tapi, dengan segala kepakaran yang ada pada seseorang remeiser atau broker yang mewakili firma seperti Konsultan Kewangan AZ,, mereka yang liat ini akan memujuk berulang kali, dengan pelbagai janji yang berbunga-bunga indah. Lambat laun, warga tua ini akan melembut rebung dan akur juga. Kata mereka lagi, harus diingat; mereka menandatangi surat perjanjian pelaburan dengan kerelaan sendiri. Tiada sesiapa pun yang mengacu senapang atau parang panjang di tengkuk mereka. Jadi, kenapa harus dilemparkan tuduhan kononnya broker-broker Konsultan Kewangan AZ, memutar belitkan kata-kata, hingga mereka terpengarauh bagai? Kenapa harus ada kata-kata sinis tentang kononnya empayar konsultan kewangan itu, kononnya dibentuk khas untuk menambah-buncit-boroikan lagi perut dan poket para brokernya? Gerutu mereka, membela empayar sendiri, berpanjang-panjangan. Kenapa harus bersilang lidah, teriak meneriak dan sumpah seranah lewat pelbagai media massa bagai? Tak usah dengar kata-kata nagatif mereka, dengar saja kata-kata kami, pujuk mereka kepada para pelanggan yang mulai goyah kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap konsultan kewangan seperti itu lazimnya, dengan suara yang bagaikan disalut gula madu.

    Dan ibunya... aduh!, tatkala dia sibuk membina kerjayanya di bank ternama di pusat Bandar BOngawan itu, ibunya yang sepatutnya memantau perjalanan restoran franciasnya itu dan berkongsi semua maklumat tentang bisnesnya seperti yang mereka amalkan sebelum ini, tba-tiba berahsia setelah tergoda untuk menjawab panggilan telefon dan langsung menjadi klien kepada salah seorang daripada remeiser suruhan Datu Ukau itu? Bagaimana ibunya boleh begitu mudah mempercayai bahawa ada penemuan minyak di persisiran pantai yang terletak lebih 200 kilometer jaraknya daripada Pulau Gaya itu? Bagaimana dengan begitu mudah mereka mengatakan bahawa projek carigali minyak itu gagal kemudiannya, atas alasan bahawa minyak yang ditemui tidak mencapai piawaian yang diperlukan, dan terus jatuh muflis – tanpa merasakan mereka perlu mengembalikan wang pelaburan kepada mereka yang terbabit? Bagaimana ibunya boleh semudah itu percayai bahawa projek carigali minyak itu benar-benar wujud, di alam nyata? Bagaimana ibunya boleh hingga tidak terfikir pun bahawa segalanya tidak lebih daripada muslihat Konsultan Kewangan AZ untuk mengelabui mata para pelabur semata-mata, biarpun siap dengan brosur berwarna warni indah, laporan kajian tanah daripada pengkaji yang diupah, dan berita tentang penemuannya yang dibuat oleh pakar kewangan yang juga dibeli dan diupah khidmat penipuan mereka selumayan mungkin? Bagaimana ibunya boleh sebegitu muda tergoda? Bagaimana?

    ReplyDelete
  6. “Begini Puan Rokiah, “pujuk Datu Ukau yang berpenampilan serba mewah, semasa terserempak dengannya secara tidak sengaja, di sebuah majlis rasmi anjuran bank Bongawan dan pusat kewangan Kota Kinabalu, beberapa bulan kemudiannya. Namun, mata lelaki bertubuh pendek gendut dan berpakaian serba mewah itu, bak mata jerung bursa, menusuk tepat ke bola mata Rokiah, tak ubah macam jerung yang bergelut dengan gelojak perasaannya yang teringin sangat-sangat menusukkan taring kepada mangsanya, sebelum dimangsai sepenuhnya. Lelaki itu lalu menambah tentang begitulah resam adat permainan pasaran saham. Tidak mengira di mana pun; ada jatuh bangunnya, ada untung ruginya dan sebagainya. Semuanya dituturkan dengan lembut, bertentangan dengan sinar matanya yang dingin tajam. “Tapi puan, masih ada jalan sebenarnya untuk anda mendapatkan kembali wang pelaburan ibu anda yang bernilai lebih kurang sejuta ringgit itu. Masih boleh diselamatkan, malah, jika bernasib baik, anda mungkin akan mendapat keuntungan berlipat ganda daripada yang pernah ibu anda impikan. Tentu anda mahu ibu anda mendapat perawatan yang lebih baik dan canggih, berbanding dengan yang diperolehi di hospital kerajaan itu sekarang, bukan?”

    “Bagaimana?” Tanya Rokiah, di antara rasa geram dan terliur.

    “Berkerjasamalah dengan kami, di firma Konsultan Kewangan. AZ. Kami boleh bayar tiga kali ganda gaji yang anda terima di tempat kerja anda sekarang,” ujar lelaki bermata dingin itu lagi. “Bantu bina halatuju dan buat pelaburan kewangan untuk firma kami. Di sanalah kami perlukan kepakaran anda, cik. Dan kemudiannya, akan saya kembalikan wang yang ibu anda hilangkan dalam pelaburan itu, untuk dijadikan wang pelaburan yang menjanjikan pulangan yang mampu menggapai langit. “

    “Bagaimana?” soal Rokiah lagi, seratus peratus tergoda kini.

    “ Berminat...?” Kali ini, akhirnya terbit juga senyuman di bibir birat lelaki gendut itu.

    Bagaimana ibunya boleh tergoda? Getus hatinya, dicengkam kerusuhan yang maha dahsyat. Ah! Bagaimana aku sendiri yang boleh tergoda dengan pujuk rayu Datu Ukau itu? Bagaimana? Hingga sanggup menandatangi seratus sijil saham dengan wang pelaburan ibunya yang `dikembalikan’ dengan sebegitu `murah hati sekali,’ oleh Datu Ukau kepadanya, sebagai modal pelaburan. Padahal, ketika itu, dia baru sebulan mula bertugas di pejabat Konsultan Kewangan AZ! Apakah kerana itu, tidak seorang pun daripada karyawan Konsultan Kewangan AZ yang sudi bergaul mesra dengannya? Hingga mendorong dia berbual dengan tukang sapu yang terlalu peramah itu, di samping menumpu sepenuh perhatian kepada tugas barunya dan menelusuri dunia internet? Hingga membuatkan dia terlanjur menanyakan kepada Datu Ukau yang sesekali menjengah muka di pejabatnya itu, tentang mengapa ada sesuatu yang aneh berlaku dalm pentadbiran firma itu?

    ReplyDelete
  7. “Itu teknik bisnes namanya, Puan Rokiah. Lebih kurang macam permainan internet kegemaran anda itu juga. Untuk cepat mara dalam permainan, kita cipta nama-nama samaran dengan akaun-akaun yang lain yang juga dicipta khas untuk tujuan itu, hagi membolehkan nama-nama samaran itu menyokong permainan kita – padahal, pemilik IP-nya tetap orang yang sama,” jelas Datu Ukau yang tiba-tiba menyeringai aneh, seolah-olah kelucuan dengan lawak bodoh sendiri.

    Rokiah terpinga. Memang benar dia gemar menyertai permainan internet bersama-sama rakan-rakan sepermainan dari masyarakat antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia. Namun, permainan alam maya, bukan ada kaitan atau mampu mengancam keselamatan atau kehidupan sesiapa pun. Ia hanya untuk suka-suka bagi merawat kesepian dalam diri. Ia sama sekali tidak wajar dibandingkan dengan perbuatan mencipta nama-nama firma kewangan yang hanya wujud di atas kertas, tapi tidak wujud di dunia nyata – semata-mata untuk memperlihatkan akan keaktifan atau ketidak-aktifan satu-satu saham, dengan saling membeli saham sesama nama samaran itu, bagi menarik minat orang ramai berlumba-lumba datang melabur ke atasnya? Kemudiannya, patutkah dengan sewenang-wenangnya pula, sebaik memperolehi keuntungan berlipat ganda, mereka boleh mengistiharkan saham-saham firma mereka jatuh merundum? Patutkah? Namun, Rokiah tidak berdaya mengundurkan diri, tidak selagi wang pelaburan ibunya belum dapat ditebus kembali, sungguh! Untuk itu, apabila Datu Ukau menyuakan seratus sijil saham kosong untuk ditandatangi dengan menggunakan wang pelaburan yang `dihilangkan’ ibunya di pasaran saham sebagai modal pelaburan, dia tidak teragak-agak lagi.

    Tidak disangka pula bahawa dirinya akan menjadi mangsa dengan cara yang tidak kurang parah dibandingkan dengan ibunya di tangan Datu Ukau yang mewakili Tuan Seri, pemilikk Konsultan Kewangan – jika tidak lebih pun. Kerana, pada keesokan paginya selepas dia menandatangi sijil-sijil saham itu, dia dapati seluruh ruang pejabat firma Konsultan Kewangan AZ bagaikan bangunan tinggalan - ditinggalkan begitu saja oleh semua karyawan firma yang hanya seramai lima orang saja itu. Yang tinggal hanya mak cik tukang cuci yang sibuk membersihkan ruang pejabat itu kini. Serta-merta terbayang dia pada sijil-sijil saham yang ditandatanginya itu.

    ReplyDelete
  8. “Puan tak diberitau tentang perkara itukah? Oh, kasihannya. Kelam kabut mereka angkut semuanya tau... Ada aku dengar perkataan suruhanjaya penyiasatan yang entah apa...” wanita tukang cuci itu terus berceloteh panjang tentang perbualan yang sempat ditangkap, sebelum seluruh karyawan di pejabat Konsultan Kewangan itu menghambur pergi. Tentang skandal penipuan terhadap para pelabur yang kebanyakannya terdiri daripada warga-warga tua, oleh pemilik Konsultan Kewangan dan sebagainya.

    Ya Tuhan, tolonggg...! Aduh, pada bila-bila masa saja, sebaik sijil saham yang berjumlah seratus keping itu ditemukan oleh pihak suruhanjaya penyiasatan konsultan itu, dia akan diserbu, digari dan dilontarkan ke sebalik jeriji besi! Ah, kasihan ibuku. Kasihan suamiku. Kasihan anak-anak kucingku yang tak berdosa!

    “Tapi,” tambah mak cik tukang cuci yang tidak henti-henti berceloteh sambil-sambil menyampaikan pelbagai informasi kepadanya itu. “Kalau puan nak tahu lebih lanjut, pergilah ke Pulau Sumatrajaya, sebab suami mak cik yang bekerja sebagai pemandu teksi tu, adalah bapa saudara kepada gadis setiausaha kepada juruterbang pesawat kecil peribadi milik tuan punya firma ini. Datu Ukau juga selalu menggunakan khidmat teksi sepupu aku di sana. Shhh... di pulau itu, khabarnya Datu Ukau lebih dikenali sebagai Tuan Seri.. wah, puan patut tengok rumahnya yang bak istana puan, nun di kaki bukit. Ah, siapa tak kenal Datu Ukau kan? Aku pernah pergi ke sana semasa...”
    Oh, begitu QA! Desis hatinya. Otaknya berputar ligat. Tidak kisahlah kalau dia diberitahu bahawa penerbangan ke pulau Sumatrajaya hanya seminggu dua kali, sebab perjalanan laut masih ada. Tak kisahlah kalau dia tidak dapat menghubungi suaminya yang berada di luar Negara itu, sebab lebih sedikit orang yang tahu dia telah tergoda dengan tawaran Datu Ukau merangkap Tuan Seri, lebih baik. Malu di atas ketelanjuran itu, biarlah dia tanggung sendiri.

    ReplyDelete
  9. “Ini tawaran saya, “tegas Rokiah yang kemudiannya berjaya mengesani letak rumah yang bak istana milik Datu Ukau merangkap Tuan Seri itu, dengan bantuan pemandu teksi yang dihubungi sepupu yang merupakan mak cik tukang sapu di bangunan Konsultan Kewangan AZ itu. ”Tuan kembalikan sijil-sijil saham yang saya tandatangi itu untuk saya musnahkan. Dan saya berjanji tidak akan menjadi penghalang apabila tuan cuba mengeluarkan dana berjutaan ringgit itu nanti.”

    “ Jika tidak?”

    “Jika tidak, akan saya buat laporan bahawa tuan cuba menggelapkan wang firma Konsultan Kewangan `milik saya’ kepada pihak berkuasa di Pulau Sumatrajaya sendiri nanti. Ibu saya telah kehilangan segala-galanya, mungkin dengan membawa pulangan berjumlah jutaan ringgit itu, merawat hatinya yang hancur lebur bahana mempercayai pujuk rayu firma tuan.” Rokiah terus menegaskannya, tanpa senyum.

    Tuan Seri ternyata amat keberatan. Cuba berdolak dalik seketika, biarpun dari sinar matanya jelas dia juga begitu tergoda dengan kibaran jutaan wang ringgi di bawah batang hidungnya. Sejurus, dengan sedikit teragak-agak, Tuan Seri lalu menuliskan Surat Pengean Surat Pengenalan bagi memudahkan dia memasuki bilik kebal Bank Sumatrajaya. Namun, kemurahan hati Datu Akau merangkau Tuan Seri itu, bukan sesuatu yang luar biasa baginya. Lelaki itu memerlukan dana jutaan ringgit itu sebagai modal untuk membuka firma konsultan kewangan yang baru di negeri atau negara lain pula, bagi menggantikan firma Konsulltan Kewangan AZ yang sedang diburu pihak berkuasa. Tanpa dana tersebut, kegiatan lelaki itu akan terbantut dan munngkin akan terus lumpuh!

    “Ia hanya bisnes, bukan bersifat peribadi. Saya hanya memerlukan stuntman .. atau stuntwoman.. atau pelakon pelagak ngeri untuk melakonkan semua aksi ngeri bagi pihak pelakon utama – diri saya sendiri, dengan menerima segala hukuman ke arah saya. Anggaplah masalah yang timbul di antara kita berdua ini, hanya masalah kecil, masalah bisnes saja, “ ujar Datu Ukau merangkap lelaki itu, ketika menyerahkan Surat Pengenalan yang ditaip dan ditandanganinya dengan cermatnya. Namun, bagaikan dapat membaca air muka Rokiah dengan perkataan `masalah kecil’ itu, dia menambah. “Ah, susah-susah, anggap kita tidak pernah mengenal di antara satu sama lain, sebelum ini, jika itu yang kamu mahu! “

    ReplyDelete
  10. “Sudah tentu!” Desis Rokiah, sinis. “Kosong-kosong k.”

    Setelah melalui pelbagai peraturan ketat bank Sumatrajaya, akhirnya dia Berjaya memasuki dan membuka peti simpanan di dalam bilik kebal bank tersebut. Tanpa berlengah, semua sijil saham yang tertera dengan tandatangannya, dimasukkan ke dalam tas tangannya. Sekelip lintasan menjelma. Hatinya tiba-tiba tertanya-tanya; apa sebenarnya yang dicari oleh pihak suruhanjaya penyiasatan skandal kewangan itu? Apa yang akan mereka temui, daripada sijil-sijil kosong yang kutinggalkan di dalam peti simpanan ini? Apakah mereka akan berhenti di situ saja? Ataupun mereka akan terus mencari seseorang yang mungkin pelagak ngeri yang mungkin mampu mengarahkan ke pencarian mereka ke arah pemilik firma Konsultan Kewangan AZ yang sebenarnya? Apakah tuan seri ada menyimpan salinan kepada sijil-sijil saham asli yang tertulis namanya ini, di mana-mana? Apakah sudah mencukupi bagi pihak suruhanjaya itu memberkasnya, biarpun ia hanya merupakan salinan siji-sijil saham cuma? Apakah akhirnya, tuan seri akan Berjaya menjadikan dia sebagai pelagak ngeri bagi pihaknya, untuk menerima segala hukuman yang sepatut diterimanya? Apa akan jadi kepada ibuku, andainya itu yang terjadi? Apakah tuan seri akan menggunakan dana jutaan ringgit itu, untuk kembali memanipulasi atau menipu-pulaskan setiap sen harta milik warga tua yang kebanyakannya daripada para pesara itu, di tempat lain pula, seperti yang mereka lakukan kepada ibunya? Apakah wang pelaburan itu lebih penting mendampingi ibunya yang terlantar lumpuh separuh badan itu, daripada kehadiran anak tunggalnya di sisinya?

    Oh, tidak...! bentak hatinya. Tanpa berlengah lagi, dikeluar dan diletakkan salah satu sijil saham Konsultan Kewangan AZ yang kosong itu, di atas meja, dalam ruang petak kecil itu semula. Daripada tas tangannya, dikeluarkan surat pengenalan yang ditandatangani oleh Tuan Seri pada pagi tadi. Dipetiknya suis lampu dinding dan lalu mengarahkan cahaya lampu itu ke arahnya, dan kemudian memegang surat tersebut di hadapat cahaya tersebut. Lalu diterbalikkannya dan menyaksikan imej tandatangan Tuan Seri yang bak pantulan imej di permukaan cermin, jelas melalui kertas surat pengenalan itu. Dengan teknik yang dipelajari secara suka-suka lewat alam maya, diletakkan imej tandatangan Tuan Seri itu di atas bahagian tandatangan pada sijil saham kosong. Kemudian, dengan sangat-sangat berhati-hati pula, dengan menggunakan ballpen, dia mengikut tandatangan tuan seri yang bak pantulan imej pada permukaan cermin, di atas sijil saham itu. Begitu selesai, dialihkan surat pengenalan itu ke tepi, mendapati ada bekas pen yang jelas kelihatan pada bahagian tandatangan pada sijik saham yang kosong itu. Wah, apa lagi yang perlu dilakukan, jika bukan mengikut bekas ballpen pada sijil itu. Tak sia-sia dia berminat dengan pelbagai ilmu di alam maya, biarpun rumit, namun dia mempunyai masa berjam-jam untuk melakukannya, tanpa gangguan sesiapa,. Dia tidak pasti sama ada tandatangan yang ditirunya itu, akan meninggalkan sebarang kesan kepada Tuan Seri, tapi hasil tiruannya itu boleh lulus mana-mana ujian. Lagipun ia tidak akan memberi sebarang makna. Ia hanya akan membawa masalah, jika tandatangan pada sijil-sijil saham itu dipertikaikan akan kesahihannya oleh Tuan Seri. Lagipun, Tuan Seri memang tidak pernah wujud juga bukan?

    ReplyDelete
  11. Dengan dada yang berdebar cemas tidak keruan, dengan sijil-sijil saham di atas namanya tersimpan di dalam tas tangannya, dia bergegas kembali ke hotel penginapan dan awal keesokkan paginya dia bergeas menuju ke jeti, untuk pulang ke Bongawan. Siapa menyangka bahawa di pondok jeti ini, dia akan dicari oleh pihak berkuasa pulau Sumatrajaya? Mahu lari ke mana lagi sekarang?

    “Puan, pihak kami memerlukan bantuan puan. Ada seorang lelaki yang ditahan kerana membawa wang jutaan ringgit tanpa mengistiharkannya, di pemeriksaan kastam tadi,” ujar salah seorang pegawai berpakaian seragam itu, seraya menuding telunjuk ke arah lelaki bertubuh gendut yang menduduki bahagian belakang kereta peronda polis Sumatrajaya. “Ramai di pulau ini mengatakan bahawa lelaki itu adalah Tuan Seri, sedangkan lelaki itu sendiri mengakui dirinya adalah Datu Ukau. Dia ada passport atas nama Tuan Seri dan kad pengenalan dengan nama Datu Ukau. Katanya, hanya puan dapat mengesahkan bahawa dia adalah Datu Ukau, bukan Tuan Seri. Dia yang memberitahu kami bahawa puan boleh ditemui di pondok jeti ini.”

    Amboi, bagaikan tidak sabar-sabar Datu Ukau merangkap Tuan Seri mengeluarkan dananya dari bank Sumatrajaya itu! Sempat pula lelaki itu memantau pergerakannya hingga pondok jeti ini, setelah meninggalkan rumah mewahnya dan bank Sumatraja pada pagi semalam. Kenapa? Dikejar bayang-bayang pelagak ngerinyakah? Wah, lawak!

    “Ah, susah2, anggap kita tidak pernah mengenal di antara satu sama lain, sebelum ini, jika itu yang kamu mahu! “selintas ucapan Datu Ukau merangkap Tuan Seri, terngiang-ngiang kembali di gegendang telinganya.

    “Puan...? Puan kenal tak lelaki itu?” soalan pegawai berpakaian seragam itu, menyentaknya ke alam nyata.

    Sekarang dia tahu apa yang perlu dijawabnya, demi ibunya, demi dirinya, demi para pelabur yang menjadi mangsa di tangan Konsultan Kewangan AZ, insya-Allah. Menjawabnya dengan pasti!

    ReplyDelete
  12. salam semua

    Sifuuuu :)

    ~Bagaimana ibunya boleh hingga tidak terfikir pun bahawa segalanya tidak lebih daripada muslihat Konsultan Kewangan AZ untuk mengelabui mata para pelabur semata-mata, biarpun siap dengan brosur berwarna warni indah, laporan kajian tanah daripada pengkaji yang diupah, dan berita tentang penemuannya yang dibuat oleh pakar kewangan yang juga dibeli dan diupah khidmat penipuan mereka selumayan mungkin? Bagaimana ibunya boleh sebegitu muda tergoda? Bagaimana?~

    Fuhhhhh...macamana sifu buat ayat tu jadi begitu pnjang dn bila kita bacapun masih lagi sedap bunyinya???

    Kalu saya tu, entah melalut ke mana2 agaknya...
    Best sifu! Dato Ukau@ Tuan Seri VS Rokiah :)

    ReplyDelete
  13. azi :)

    jika dibaca dlm dewan sastera yg dah diedit editornya, ada ayat2 yg dipotong dua, tp masih logik lagi.

    ttg buat ayat panjang2 tu, pengalaman saya mengasah bakat dan keinginan utk buat sesuatu yg lain drpd yg pernah saya buat sebelumnya. caranya juga tak sesusah mana, saya masuk dlm jiwa Rokiah (saya suka nama klasik mcm ni, terasa lebih tulen lagi) dan cerita dr sudut pandangannya sebagai seorang pakar kewangan sebuah bank. monolog dan dalam fikiran watak lebih hidup gitu.

    dlm setiap cerpen, termasuk cerpen Jerung Bursa yg pasaran saham mcm ni, setiap ayatnya adalah informasi (ilmu bantu) yg saya kreatifkan. ceritanya juga cerita benar sebenarnya, saya pernah baca ttg bagaimana sebuah yayasan gah dlm negara kita yg memikat para pesara utk melabur semua wang mereka. tak lama kemudian, boleh pula mrk kata pasaran saham jatuh (mcm dialog dlm cerpen tu) dan kemudian sedap2 mereka lepas tangan.

    jadi, soalnya, apa pesara tu nak makan selepas semua aset digadaikan utk beli saham drpd yayasan gah tu? berapa ramai yg jadi mangsa?

    di situlah, saya rasa, sebagai penulis, perlu bangun dan perjuangkan nasib mereka. mudah2an sampai :)

    ReplyDelete