.

Photobucket

.

.

Kenapa Perlu Baca Karya Sastera

Tuesday, January 04, 2011 Posted by Azmah Nordin
(terbit do Majalah WADAH, Disember 2010, DBP Sabah)
Oleh Azmah Nordin


Mengapa sebenarnya seseorang itu perlu membaca karya sastera? Mengapa di sepanjang sejarah kehidupan manusia, di seluruh pelusuk dunia masyarakat daripada pelbagai tradisi suku bangsa dan budaya, berusaha menghasilkan karya sastera terbaik dan mengongsikannya sesame mereka? Apa sebenarnya makna sastera kepada manusia sejagat? Apa sebenarnya sumbangan sastera terhadap manusia dan kemanusiaan?



Sementara memikirkan jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas, saya rasa ada eloknya dimulakan dengan penyelongkaran yang paling dasar sekali iaitu Sastera. Apa sebenarnya sastera itu?

Lazimnya, terdapat pelbagai sudut pandangan dan definisi tentang pengertian karya sastera, yang satu pun sebenarnya tidak pernah memuaskan semua pihak. Ini mungkin kerana pada dasarnya, sastera bukanlah sekadar ilmu, sebaliknya ianya terbit dari salah satu daripada cabang seni dan sebagai seni, tentulah ia amat bergantung kepada faktor manusia dan penafsiran individu. Terutama sekali yang berkaitan dengan semangat dan kepercayaan.

Nah! Ternyata, amat sukar untuk membuat definisinya bukan? Lebih2 lagi apabila penafsiran dibuat dengan menggunakan kaedah ilmiah.

Jelasnya, karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat dan kuat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.

Sastera pada asasnya merangkumi 3 perkara di bawah:

1. Sifat khayali atau imaginasi.
3.. Adanya nilai-nilai seni/estetika
3. Penggunaan bahasa yang khas

Ianya juga boleh diperluaskan lagi melalui pemahaman berikut:

1. Sastera adalah seni berbahasa. Ia tidak disusun dengan sebegitu rupa, tanpa tujuan dan sentiasa memiliki keterbukaan panafsiran.
2. Sastera adalah ungkapan spontan dari lubuk perasaan yang mendalam atau dari dalam jiwa.
3. Sastera adalah luahan fikiran yang berbentuk pandangan, buah fikiran, idea, perasaan, pemikiran – dengan menggunakan bahasa sebagai sarana.
4. Sastera adalah bisikan hati ataupun ilham tentang kehidupan yang diwujudkan dalam sebuah bentuk keindahan. Juga tentang ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, idea, semangat juang dalam satu gambaran yang diolah dengan begitu kuat, padat, bulat, hidup, dan mempesonakan.
5.. Sastera adalah lembaran demi lembaran halaman yang memuat perasaan kemanusiaan yang mendalam dan kebenaran moral dengan sentuhan kesucian, keluasan pandangan, dalam bentuk yang istimewa dan sekali lagi dengan menggunakan susunan bahasa sebagai satu sarana.

Karya sastera terbahagi kepada dua kelompok iaitu;

1. Ciri-ciri sastera imaginatif seperti puisi, cerpen, novel, drama ; kandungannya bersifat khayali, menggunakan bahasa konotatif, memenuhi syarat-syarat estitika seni.

2. Ciri-ciri sastera non-kreatif seperti esei, kritikan, biografi, autobiografi; sejarah, memoir, catatan harian; kandungannya menekankan unsur fakta, menggunakan bahasa yang denotatif, namun tetap memenuhi unsur-unsur estetika seni.


Jelas kelihatan perbezaan antara sastera imaginatif dan non-imaginatif adalah masalah estetika seni. Bagaimanapun, unsur estetika seni yang meliputi kekuatan, keselarasan atau keharmonian, keseimbangan, tumpuan/pusat penekanan suatu unsur, tetap sama; estetika seninya tetap diperjuangkan.

Sekarang, kita kembali kepada soalan pertama tadi; Mengapa kita perlu membaca karya sastera? Penting sangatkah kita baca karya sastera?

Terbukti lama sudah bukan? Karya sastera mewakili bahasa dan bangsanya; budaya dan tradisinya. Ianya lebih penting daripada sekadar sebuah peninggalan sejarah atau artifak budaya yang memperkenalkan kita pada pengalaman dan dunia luar. Kita belajar tentang sastera dari merata sumber; kita terhibur dengan kelucuan, kita tersentuh dengan kepahitan hidup, yang tergambar dalam puisi, cerpen, novel dan drama; dan minda kita pun lalu berkembang di sepanjang penggembaraan lewat karya-karya sastera tersebut.

Akhirnya, dengan `melihat’ apa yang diungkapkan oleh pengarangnya dan bagaimana dia mengungkapkannya, kita akan ketemukan makna di sebalik apa itu karya sastera. Kita akan dapat menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Jika dalam lingkungan akademik, wujud pula penggunaan kaedah-kaedah teori tertentu untuk mendekati karya sastera dengan lebih mendalam, seperti; mithologi, sosiologi, psikologi, sejarah, dan beberapa pendekatan lain.

Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.

Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan etnik dan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.

Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat.

Ikatan yang begitu mantap antara sastera dan manusia (pembaca), menarik mereka untuk turut menyumbangkan suara. Ikatan itu juga mungkin dapat membuatkan mereka berasa akan kesamaan gelojak perasaan dan cenderung membangkitkan semangat juang yang sama tanpa mengira batasan geografi, bangsa, fahaman agama ataupun ideologi politik. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Perasaan menjadi sebagai sebahagian daripada pengalaman masyarakat dalam ruang dan `buku besar’. Ia adalah suatu kejayaan budaya dan tiada satupun yang dapat menyumbang lebih daripada itu, selain daripada karya sastera. Jelasnya, ia adalah amat penting untuk kita pelajari dari masa silam, untuk kita memperbaiki masa hadapan.

Pendek kata, tanpa membaca karya sastera atau tidak pernah disentuhi sastera, samalah seperti kita berada di dalam lingkungan masyarakat yang emosi dan jiwanya terperangkap, kerana kelukaan dalam hati atau gelojak dalam diri tidak mampu dan dapat diluahkan dengan cara yang halus dan lembut.

Yang pasti, buku-buku sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri. Bebas untuk menerokai pengaliran idea, imaginasi, misteri, penerokaan dan sebagainya. Tanpa buku sastera, apa saja yang mengalir dalam diri kita?



Andainya semua yang sebut di atas masih belum meyakinkan anda untuk mendekati karya sastera, bagaimana dengan informasi ini;

Nabi Muhammad (s.a.w.) menggunakan puisi sebagai alat atau wasilah dalam mendakwah ajaran agama yang diturunkan kepadanya. Baginda sangat menghargai keupayaan para sahabat menggambarkan perasaan dan isi hati mereka dalam bentuk sastera tentang hubungan antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan alam. Selagi keupayaan bersastera itu tidak merugikan kepentingan umum dan berada di dalam kerangka nafas ajaran keagamaan, selagi itulah tiada sebab untuk kita menolaknya. Bukan?


You can leave a response, or trackback from your own site.

1 Response to "Kenapa Perlu Baca Karya Sastera"

  1. intan@ain Said,

    sangat menghargai tulisan puan.izinkan saya menggunakan definisi sifat dan kategori sastera dalam artikel saya puan.

    Posted on September 15, 2013 at 10:09 PM

     

Post a Comment

featured-video