• LinkedIn
  • Join Us on Google Plus!
  • Subcribe to Our RSS Feed

Thursday, June 25, 2009

AKU DATANG

Thursday, June 25, 2009 // by Noraini Eslah // 11 comments

Puisi Percubaan

Ummu Anas


Tuhan
Rabbi Rabbul Izzati
Engkau anugerahkan aku kelahiran
aku menangis mencari erti kehidupan
sujud mengharap belas kasihMu
tengadah mengharap hidayahMu

Tuhan
Engkau namakan aku insan
menjawat khalifah di persada bumi
bergelar abdi terikat ibadah
termetri janji beroleh syurga abadi
bersyarat takwa dilengkapi ikhsan

Tuhan
Engkau tunjuki aku jalan
lurus ke kanan bukan ke kiri
jalan orang-orang berjaya
bukan jalan orang-orang gagal
aku pasrah lagi patuh
tanpa ingkar lagi mungkar
aku datang kepadaMu
Allahuakhbar!

10.20 mlm 25/06/10

11 comments:

  1. Salam sdr Pa'al dan Sdr Riesna
    (kedua-duanya sekali,sy mohon membedah puisi ini sebagai bahan percubaan)

    Puisi 'aku datang'menggambarkan satu perjalanan menuju dan menyerahkan diri untuk menghadap penilaian tuhan terhadap diri hamba Allah/manusia.

    Dalam bait pertama, penyair menjelaskan tuhan memberinya kewujudan/kelahiran. dimulai dengan tangisan kerana ditafsirkan setiap bayi yang lahir itu menangis kerana dambakan perhatian Penciptanya.

    Dalam bait kedua, penyair mengingatkan dirinya dan org lain kita dilahirkan sebagai manusia yg diberi tanggungjawab menjadi khalifah Allah diats muka bumi utk memakmurkan muka bumi anugerah Alalh. Dalam masa sama manusia mesti sedar dia hamba/abdi Allah yang mesti hidup dlm suasana semua perbuatannya dikira ibadah.Diingatkan juga manusia sudah Allah janjikan syurga yg abadi,jika bertakwa dengan sifat ikhsan(merasa Allah melihat perbuatannya).

    Bait ketiga,
    penyair menyedari tuhan telah menunjuki jalan lurus benar dan tidak menyimpang supaya dia menjadi orang yang taat dan beroleh kejayaan. Dalam masa yang sama dia sentiasa melakukan kebaikan. Setelah dia/manusia usahakan sedapatnya ketaatan kpd tuhannya, menyerahkan dirinya untuk dinilai oleh tuhannya dan dia yakin akan kebesaran tuhannya.

    Begitu yang mampu sy turunkan sebagai sinopsis keseluruhan puisi ini untuk dibaiki penyusunan kata-kata yang digunakan. sebarang teguran untuk menggantikan perkataan lebih baik, saya nanti2 dan cuba dibaiki lagi.

    ReplyDelete
  2. Dengan izin sifu,

    Kak ummu terkasih, sblum tu, ampun dan maaf dipinta kiranya ada kata-kata yg mengguris perasaan ya.. kita sama2 belajar. Kalau ada teguran yg x membina, harap tegur pa’al dgn kejam pun x mengapa… hehehe..(susah betul mau post komen ini kerana terasa diri ini belum layak utk mberi komen.. hehe)

    wbmanpun, seriusnya, bagi pa’al puisi ‘Aku Datang’ jelas menunjukkan kak ummu memang boleh menulis sebuah puisi yang sgt bagus! Spt yg pa’al selalu baca tulisan di blog kak ummu, bahasa yang digunakan cukup bersih dan terjaga, menunjukkan bahasa dan kak ummu memang seperti isi dan kuku, sama seirama, cukup lama bersama. Terbukti di dalam puisi ini. Pemilihan kata-kata kak ummu dlm puisi berunsur keislaman ini memang tidak dinafikan, sesuai dan menepati tema ‘aku datang’..kepadaNya. Pemilihan tajuk, memang kena dan menarik perhatian peminat puisi untuk membacanya.

    Pa’al rasa, apa yg kak ummu perlu lakukan hanyalah ‘menggembirakan pencapaian puitik’ dalam puisi-puisi kak ummu saja, berbeza dgn tulisan ilmiah yang direct to the point. Macam dlm bengkel sastera kita, sifu galakkan kita cipta metafora dalam tulisan,kan. Spt kata-kata sifu dalam salah satu tulisannya d blog kita – ‘metafora’ bukan hanya hiasan di dalam karya, tp ia adalah lambang kita berfikir.

    Sebagai penulis/kolumnis kak ummu punya ungkapan-ungkapan motivasi dan kata-kata nasihat yang sungguh-sungguh memukau bagi Pa'al sbg pembaca, jikalau kak ummu perhaluskan lagi setiap patah kata-kata di dalam setiap rangkap dalam puisi ‘aku datang’ ini, ianya akan jadi sebuah puisi yang sgt puitis,liris dan manis,penuh pedoman, lebih-lebih lagi dengan kelebihan kak ummu yg senantiasa membuat pemilihan kata-kata / bahasa yang bersih dan terjaga di dalam penulisan kak ummu.

    Contohnya, dr rangkap ke rangkap (mungkin kak ummu boleh cipta metafora lain yg lebih enak dpd yg pa'al cadangkan, ya kak ummu...)

    Tuhan / cth ; Ya Tuhanku
    Rabbi Rabbul Izzati
    Engkau anugerahkan aku kelahiran / cth ; kelahiran ini anugerahMU
    aku menangis mencari erti kehidupan / cth ; dalam debur tangis kucari makna hidup /hayat ini?
    sujud mengharap belas kasihMu / cth ; tersujudku pada selarik belas kasihMU
    tengadah mengharap hidayahMu /cth ; tengadah meluhurkan hidayahMu

    ReplyDelete
  3. Tuhan / cth : Ya Tuhanku
    Engkau namakan aku insan / aku hanya setinta insan
    menjawat khalifah di persada bumi /berkhalifah di saujana bumiMu
    bergelar abdi terikat ibadah / cth ; mengabdi pada cinta ibadah
    ( kak ummu, pa’al rasa kata ‘terikat’ jadikannya ‘invisible’ atau boleh tukar kpd satu kata yg lebih puitis)
    termetri janji beroleh syurga abadi
    bersyarat takwa dilengkapi ikhsan
    (dua baris terakhir ini pa'al tinggalkan untuk dibelai kak ummu lagi, ya..)



    Tuhan / cth : Oh Tuhan
    Engkau tunjuki aku jalan / cth : tunjukkan aku jalanMu /jalan2Mu?
    lurus ke kanan bukan ke kiri
    ( yg baris ini x payah pun boleh sebab baris ke2 di atas sdah cukup kuat rasanya.. )

    jalan orang-orang berjaya / cth : ikhlasku ingin kepuncak jaya
    bukan jalan orang-orang gagal
    (bagi dua baris ini, terlalu direct..pa'al rasa boleh cari kata-kata/metafora yang kreatif, mungkin juga baris yg ada perkataan 'gagal' boleh ditiadakan.. )

    aku pasrah lagi patuh
    tanpa ingkar lagi mungkar
    aku datang kepadaMu
    Allahuakhbar!

    (tapi 4 baris terakhir ni bagus! pa'al sangat suka sebab sgt positif endingnya!..)


    kak ummu, contoh2 metafora /kata-kata, yg tercoret sebagai buah ilham kata oleh pa'al setinta insan ini, hanyalah sebagai penggeletek untuk ranum buah-buah ilham besarrrr yang ada tersembunyi di dalam hujung jari kak ummu!

    salam tersayanggggggg.....

    ReplyDelete
  4. kak ummu..

    pembetulan / penambahan ;

    Engkau namakan aku insan / cth :aku hanya setinta insan
    menjawat khalifah di persada bumi/ cth: berkhalifah di saujana bumiMu

    ReplyDelete
  5. salam mummy ummu..

    ini percubaan sentuhan riesna untuk melebutkan kosakatanya...

    tema islami agak sesuai diterbukakan mesejnya.. maksudnya puisinya elok lebih public dan bersifat umum... agar semua pembaca menghayatinya bersama... dan bukan hanya sebagai luahan penulis sahaja... agar mesej nasihat dan nilai murninya dpt dihayati bersama...

    lagi elok, jika bykkan penggunaan definisi perkataan bahasa arab versi melayu untuk menguatkan tema...

    Tuhan
    Ya Rabbi Rabbul Izzati
    DianugerahkanNya zuriat kelahiran
    Tangis pencarian erti hidup
    Sujud dititi lewat belas kasihMu
    Tengadah digarap pohonan hidayahMu

    Tuhan
    DinamakanNya insan
    Khalifah persada bumi
    Abdi tergelar pengikat ibadah
    Lestari syurga dipetri janji
    Ikhsan pelengkap takwa

    Tuhan
    Mohon ditalakanNya arah
    Tegak mengkanan mungkari kiri
    Galur insan berhasil
    Melenyap simpang ketewasan
    Gamitan pasrah bersemi akur
    Pelupus ingkar menidak mungkar
    Kala mendatangi diri padaMu
    Allahuakhbar!

    rasanya boleh dipanjangkan lagbi untuk kuatkan isi... cuba mummy lengkapkan ya

    salam

    ReplyDelete
  6. SAlam kak ummu, saya nak betulkan dari segi hukum tatabahasa sahaja.

    Perkataan kasihmu sepatutnya kasih-Mu
    Perkataan hidayahmu sepatutnya hidayah-Mu(merujuk kepada Tuhan)

    Begitu dengan perkataan yang lain...
    Sekian, terima kasih...

    ReplyDelete
  7. Salam kak Ummu..saya suka puisi ini..mengajak kita merenung diri.

    ReplyDelete
  8. Assalammualaikum sdra Pa'al,
    Semoga saudara beroleh limpah rahmat dan keberkatan dari Allah.
    Bersama ini saya sertakan puisi percubaan pertama saya yang sudah sdra sentuh halusi, sedaya yang saya termampu baiki...

    AKU DATANG
    Ya Allah, Tuhanku
    Rabbi Rabbul Izzati
    kelahiran ini anugerah-Mu
    dalam debur tangis kuraih erti hidup
    tersujudku pada selarik belas kasih-Mu
    tengadah meluhurkan hidayah-Mu
    pasrah memikul amanah-Mu.

    Ya Allah, Tuhanku
    Rabbi Rabbul’Alamin
    aku hanya setinta insan
    berkhalifah di saujana bumi-Mu
    menebar takwa berbunga ikhsan
    mengabdi cinta ubudiyah
    mimpikan janji syurga-Mu.

    Ya Allah, Tuhanku
    Arrahman Arrahim
    tunjuki daku jalan-jalan-Mu
    disuluhi hidayah-Mu
    diharumi reda-Mu
    aku pasrah lagi patuh
    tanpa ingkar lagi mungkar
    aku datang kepadaMu
    Allahuakhbar!

    ReplyDelete
  9. kak ummu!!

    Lihat itu!cuba kak ummu bandingkan dengan yg asal.maknanya masih tetap sama..namun gaya bahasa..kosa kata...sebelum ini, agak keras dan direct saja..tp lepas dibedah, pa'al dapat rasakan keindahan puisi kak ummu yang sebenar.

    Bukan sahaja indah dari segi gaya bahasanya, tapi juga ada nilai-nilai perjuangan, keinsafan diri yang sebenarnya sebagai iktibar pedoman utk pembaca. Puisi, moden, kini dan dahulu, banyak diingati kerana impaknya kepada mata yang membaca dan hati yang merasa, bukan hanya bergantung kepada pemilihan kata-kata yang terlalu aneh-aneh, bombastik atau yang dipetik secara terus daripada kamus. Yang penting bait demi bait bertali arus maknanya, dan berhubung antara satu dengan yang lain tanpa perlu menggunakan kata hubung.

    Lihat puisi kak ummu yang sudah kak ummu hiasi ini, jernih..halus. Bagi pa'al, pa'al rasa puisi ini sudah cukup sempurna.Pa'al bagi full mark! awesome kak ummu. Tahniah!

    ReplyDelete
  10. Terima kasih(3x)Pa'al!
    Begitu sabar sdra Pa'al mmbimbing jari2 sy mncari2 kata2 yg serasi dgn isi hati utk dilahirkn dlm bentuk puisi yg sy idamkan...oh!

    Sy benar2 menitiskan airmata bila mmbaca semula puisi pertama sy ini setelah ia dimurnikan n dihalusi lagi. sgt2 sy trharu n tergugah ingin membentuk diri kerdil ini menepati isi/tuntutan puisi ini. Hati sy sgt mahukan jasad jd baik...kini tugas sy mngarah emosi tunduk pd kebaikan itu...oh! semua yg melihat ini...pringatkanlah utk itu, sy mahu jd baik hingga ke akhirnya...

    Kpd peserta2 lain, ayuh! mari brsama kita asah bakat yg terpendam di hati. Di sini kita boleh saling berbincang utk mnghasilkan puisi yg punya nilai murni dan berupaya mndidik,ayuh!

    ReplyDelete