• LinkedIn
  • Join Us on Google Plus!
  • Subcribe to Our RSS Feed

Sunday, September 27, 2009

Temuramah bersama dengan Ummu Anas...Satu Untaian Pengalaman

Sunday, September 27, 2009 // by Abdul Razak Bin Husin // 4 comments

Oleh : Abdul Razak bin Husin.


Kini, tiba pula giliran saya untuk menemuramah secara dalam talian bersama dengan Ummu Anas atau lebih mesra saya panggil Kak Ummu.

Saya amat berharap Kak Ummu sudi-sudilah menjawab soalan yang telah saya susun atur di bawah ini.




1. Bagaimana Kak Ummu boleh melayari laman blog Sastera ini serta menjadi peserta bengkel blog ini?

2. Cerpen pertama yang dibengkelkan di blog sastera ini. Bagaimana respons Kak Ummu apabila dikomen oleh Sifu Azmah Nordin serta tanggapan awal terhadap sifu.



3. Mohon Kak Ummu senaraikan cerpen yang telah dibengkelkan di blog sastera setakat ini. Jumlah cerpen yang telah dihantar atau bakal dihantar pada majalah/akhbar.

4. Proses kreatif penulisan cerpen "Gerimis Kasih" sehingga berjaya disempurnakan. Tarikh menghantar cerpen serta tempoh masa yang terpaksa ditunggu untuk disiarkan.

5. Pengalaman terindah Kak Ummu sebagai peserta bengkel /pengurus bengkel untuk dikongsi bersama-sama rakan sebengkel yang lain.

6. Cadangan daripada Kak Ummu untuk menyemarakkan laman blog sastera ini.

7. Harapan /cita-cita/angan-angan Kak Ummu dalam bidang penulisan cerpen dan novel pada masa akan datang.

8. Apakah nasihat Kak Ummu kepada rakan sebengkel dan pengurus-pengurus blog?

Sekian, terima kasih...


Thursday, September 24, 2009

GERIMIS KASIH

Thursday, September 24, 2009 // by Noraini Eslah // No comments

Peserta bengkel blog sastera dan pengunjung yang dimuliakan,
Di sini saya paparkan isi keseluruhan cerpen saya 'gerimis kasih' seperti yang telah disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita, september 2010.

-ummu anas (n0raini eslah)


GERIMIS KASIH
Oleh: Noraini Eslah(Ummu Anas)

“Shafiq, buka pintu sekejap…” Ibu mengetuk pintu bilik Angah yang dikunci dari dalam. Begitulah tabiat Angah bila meradang dia akan mengunci diri di dalam bilik. Walaupun berkongsi bilik dengan Uda, dia tetap menyimpan kunci sendiri.

Mahu tidak mahu, Uda terpaksa meletakkan satu lagi kunci bilik di ruang tamu. Ini untuk memudahkan seisi rumah membuka bilik tersebut, jika lama terkunci. Panggilan ibu tidak sedikit pun diendahkan, tiada kedengaran bunyi menandakan pintu akan dibuka. 






Ibu tidak mampu menunggu lama. Kalau diikutkan kerenah anak seorang yang keras kepala ini, akan lewat pula ibu sampai di Ipoh. Sedangkan perjalanan akan diteruskan ke Pahang hari itu juga. Bagaikan perjalanan bas ekspress dua hala.

Demi kasih ibu yang tiada penghujungnya, ibu tetap melebarkan kasihnya kepada semua anak-anaknya. Tidak mengambil kira yang manja maupun yang kasar. Semuanya darah-daging ibu. Ibu ikhlaskan hati melayani kerenah mereka. Semata-mata mengharapkan perhatian Allah. Tercalar sungguh hati ibu. Pilu yang menusuk kalbu, semakin dalam menghiris perasaan ibu. Dengan pantas ibu masuk ke bilik. Mengemas bilik dan memasukkan sepasang pakaian untuk menginap satu malam di Bandar Pusat Jengka.
Terlebih dahulu perlu menghantar Uda ke UTP(Universiti Teknologi Petronas) di Tronoh, Perak. Kali ini ibu pergi diiringi Kak Long yang sudah cekap memandu untuk perjalanan jauh. Ibu tidak mahu menyusahkan ayah. Ibu faham kesibukan ayah menguruskan Pasar Mini Berjaya. Semasa memasukkan barang-barang Uda ke dalam bonet kereta, kepala ibu terasa sungguh berat. Pandangan mata berpinar-pinar. Bila menunduk terasa badan seperti ditolak. Ibu rasa macam hendak pitam. Ibu gagahi juga mengangkat barang-barang dengan pergerakkan yang diperlahankan. Sementara Kak Long dan Uda mengemas ruang tamu, ibu naik ke tingkat atas rumah mereka untuk memastikan Angah tahu ibu akan bertolak ke Ipoh.

“Ibu bertolak dulu Syafiq. Ayah balik nanti panaskan lauk dan nasi yang Kak Long sudah masak tadi.” Ibu memaklumkan dari luar pintu bilik dengan harapan Angah mendengar arahan ibu. Hati ibu berdarah disebabkan tabiat Angah yang tidak berubah walau sudah dewasa. Hanya memikirkan kepentingan dirinya sendiri sahaja. Hingga sanggup meremuk-redamkan persaan ibu…

Ayah berat mulut

Rimas sungguh perasaan ibu melihat anak bujang yang malas begitu. Berkali-kali ibu ajukan kepada ayah supaya ditegurkan tabiat Angah. Tapi ternyata ayah ‘berat mulut’. Ayah tidak suka menyuruh dan mengarah. Jika sukarela sendiri membantu ayah, pasti dihargai. Angah juga tidak manja dan mesra dengan ayah.

Sedari kecil sudah dihantar bersekolah aliran agama di Kelantan. Diserahkan sepenuhnya kepada pengawasan Pak Su yang merupakan ustaz. Juga atas cadangan ibu. Sebab Angah yang pendiam dan degil, serasi dengan Pak Su. Angah bagaikan menjadi anak Pak Su. Lebih-lebih lagi dia bersekolah di sekolah yang Pak Su mengajar. Begitu lama Angah berjauhan dari ibu, terasa sungguh rindu ibu. Besar harapan ibu ingin Angah pulang ke Johor Bahru, tempat kelahirannya. Lantas ibu mencadangkan Angah membantu perniagaan ayah atau menjadi guru sebuah sekolah menengah swasta di Kampung Maju Jaya, Senai.
Pengetua sekolah adalah saudara ‘dua pupu’ dengan ibu. Dia ada menelefon bertanya seandainya ibu ada kenalan yang sesuai dicadangkan mengajar di sekolahnya. Justru itu sewaktu ibu bersarapan sebelum bertolak menghantar Ucu, ibu bersuara kepada Angah. Memandangkan Angah mempunyai diploma dalam bidang Pengurusan Teknologi (Perakaunan). Ibu rasa lebih baik Angah membantu perniagaan keluarga atau mengajar di sekolah swasta. Tapi… bukan itu rancangan Angah.

“Ibu…, takkanlah kelulusan Angah ni patut diguna mengurus kedai runcit ayah. Atau cuma jadi guru kemahiran hidup di sekolah menengah swasta di Kampung Maju Jaya, Senai.” Rungut Angah sewaktu ibu memberi cadangan.

Sudah lebih enam bulan Angah menganggur di rumah. Tidak ada sebarang tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Maupun surat temuduga untuk sebarang pekerjaan. Rutin harian Angah penuh dengan berkurung di bilik membaca pelbagai novel remaja dan dewasa.

Apabila masuk waktu solat fardhu, akan berjemaah di masjid taman kediaman mereka sahaja. Juga membantu Pak imam mengajar anak-anak jiran mengaji. Protes Angah dipaparkan pula pada raut wajahnya yang masam mencuka dan jelingan tajam. Seakan-akan ‘naik darahnya’ mendengar cadangan ibu.

Hanya ada kelulusan diploma, lirikan mata Angah memandang ibu, sudah seperti tuan punya ladang yang sangat luas. Ibu hampir tidak percaya pada apa yang terpapar di depan mata. Terasa ngilu parut luka yang melintang di bawah perut ibu. Parut kesan pembedahan sewaktu melahirkan Angah. Jika anak patuh hajat ibu, tidaklah terasa sakit kesan melahirkan. Malah terasa sejuk perut ibu yang mengandung…Berkaca-kaca mata ibu, suam dan perit rasanya. Berkali-kali ibu beristighfar, menahan pedih di hati. Hati ibu tersentak. Seperti ada aliran arus pilu menyelinap ke ruang hati ibu. Sudahlah ayah sukar bermesra dengan anak-anak. Ini pula anak-anak yang ibu didik dengan kasih-sayang dan ramah mesra menyiat-nyiat perasaan ibu.

Berleka-leka yang disukai. Mendengar cadangan ibu bagai dikerah meredah hutan belantara. Bagaikan dipaksa menebas belukar. Sedangkan ibu mengharapkan anak yang dikasihi menjadi anak yang soleh. Memilih pekerjaan mulia. Mengajar atau berniaga.

Hujan air mata

Ketika bersolat sunat Dhuha, basah tempat sujud ibu dihujani airmata yang tumpah tanpa dapat dikawal derasnya. Sebaik menyudahkan solat dan memberi salam ke kanan dan ke kiri, ibu merebahkan badan di atas sejadah. Begitulah lazimnya ibu. Setiap kali menghantar Ucu pulang ke UiTM Pahang, cawangan Jengka. Pasti ibu berehat di bilik solat kolej kediaman siswi. Seusai solat sunat, ibu akan melelapkan mata. Dengan harapan jasadnya kembali segar sepanjang perjalanan pulang yang jauh. Lebih-lebih lagi kali ini, ibu terasa badannya sangat lemah. Rasa tidak terdaya untuk ibu naik ke aras tiga kolej kediaman siswi. Ditambah lagi jika mengangkat barang-barang Ucu, khuatir gejala semput ibu datang semula.

Semasa Ucu mendaftar semester satu dahulu, ibu diserang semput kerana terlalu letih menguruskan keperluan Ucu. Dua hari ibu berehat di Temerloh semata-mata untuk memastikan kesihatannya memuaskan.

Selepas itu ibu pergi ke KTD(Kolej Teknologi Darul Naim) di Kelantan untuk menziarahi Angah yang berada di semester akhir pengajiannya. Begitulah ibu, sedapatnya dia meluangkan masa memberi sokongan moral yang kuat kepada anak-anak tersayang. Meskipun kesihatannya sendiri sering terganggu.

Namun kali ini jasad ibu benar-benar lelah. Diasak jiwa yang resah. Hati juga berkecamuk. Tidak dapat ibu bendung dengan berdiam diri. Telah ibu curahkan dalam rukuk dan sujud. Terungkai luruh dalam derai airmata. Deras membanjiri sejadah. Tekanan yang terperangkap di kepala telah dilepaskan. Kesugulan di hati telah diluahkan. Terasa ringan dan lapang jiwa. Ibu melelapkan mata buat melepaskan lelah dari kamar hati… Jelas wajah Angah di depan mata ibu. Muka bundar dengan dahi lebar. Mata hitam galak seperti bercelak. Hidung sederhana mancung. Rambut ikal hitam berkilat. Berkulit kuning langsat tanpa jerawat di pipi.

Pandangan mata redup dan mudah tersenyum. Wajah itulah dulu yang sering mengubat rindu ibu kepada adik kesayangannya yang telah meninggal dunia. Wajah Angah memang seiras wajah adik tengah kesayangan ibu. Di mata ibu kedua-dua mereka banyak persamaan. Sebagai ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kini mengapa wajah itu melukai hati ibu...?

Melapah-cincang lumatkan harapan ibu. Tidak berwatak sebenar seperti adik tengah ibu. Juga tidak ramah dan pengasih seperti Pak Su, adik bongsu ibu. Ibu cuma ada dua orang adik lelaki. Mereka telah kematian bapa sedari kecil. Sewaktu Pak Su di darjah enam, ibu mereka pula meninggal dunia bersama adik tengah ibu. Disambar ombak ganas sewaktu menyertai rombongan berkelah.
Semenjak itu ibu dan Pak Su sangat rapat. Susah-senang mereka tanggung bersama. Hinggalah Pak Su sudah berumah tangga, dia masih rapat dengan ibu. Banyak membantu ibu mendidik anak-anaknya. Tambahan pula Pak Su mudah mesra dengan anak-anak remaja.

Bantuan Pak Su

Wajah Kak Long dan Angah menerpa silih berganti. Sekejap jelas, sekejap samar. Ibu menenyeh-nenyeh matanya. Terasa bahu ibu ditepuk lembut dan lengan ibu diusap-usap. Sedikit demi sedikit, terserlah pandangan mata ibu. Jelas semula.

“Ibu masih penat?”. Lembut sapaan dari wajah manis berlesung pipit di kedua-dua pipi dan bertahi lalat di penjuru kanan bibir bawah. Wajah ayu mendamai jiwa, anak gadis harapan ibu.

Kak Long memang banyak membantu ibu menguruskan adik-adik. Juga menjadi teman setia ibu berkongsi sebarang masalah. Sedih dan gembira mereka lalui bersama. Sakit pening ibu pun banyak yang Kak Long bantu uruskan. Beruntung ibu mempunyai anak perempuan yang ringan tulang.

Begitulah juga yang ibu harapkan terhadap Angah. Lebih-lebih lagi Angah merupakan anak lelaki tertua. Sepatutnya menjadi contoh kepada adik-adiknya. Angah yang diharapkan meneruskan perniagaan keluarga. Tetapi Angah tidak sedikit pun menunjukkan minat berniaga. Dengan ayah sendiri pun jarang sekali Angah berbual mesra.
Angah lebih rapat dengan Pak Su. Malah lebih taatkan Pak Su berbanding ayah sendiri. Apa saja yang Pak su suruh, Angah patuhi. Karena sikap Angah yang begitu, semalam sewaktu dalam perjalanan menghantar Uda dan Ucu ke kolej, segera ibu menelefon Pak Su. Meminta Pak Su memujuk Angah mengubah tabiat malasnya. Sudah habis ikhtiar ibu. Kerana itu ibu sangat mengharapkan sokongan moral dari Pak Su yang mengerti permasalahan ibu.

“Eh…Shafiqah…Lama ibu tertidur tadi? Kepala ibu masih pening dan berdenyut-denyut.” Ibu bangun perlahan-lahan sambil memegang kepalanya. Entah mengapa dada ibu juga terasa sengal dan berdebar-debar. Nafasnya pula pendek-pendek. Seperti akan diserang semput rasanya. Bertambah risau ibu.

“Tidak lama sangat pun. Tapi tadi Pak Su dan Angah ada menelefon…”.Pantas tangan Kak Long mmembantu ibu melipat telekung dan sejadah.


Belum sempat Kak Long menghabiskan kata-katanya, ibu menyampuk; “Pak Su dan Angah menelefon? Ibu tak perasan tadi…”

“Ya. Mula-mula Angah, kemudian Pak Su pula…” Kak Long memberi tahu, mereka menelefon sewaktu ibu tertidur.

“Alhamdulillah.” Terpacul kata-kata syukur ibu. Resah gelisah hati ibu telah Allah leraikan…

Pak Su mengajak Angah mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Pengkalan Chepa tempat Mak Su mengajar. Seorang guru Bahasa Inggeris diperlukan. Sekolah itu ada dua guru Bahasa Inggeris. Seorang daripadanya telah pulang bertugas ke Sabah. Seorang lagi ialah Mak Su sendiri. Mak su pula dijangka akan mulai cuti bersalin awal Februari. Sedangkan sesi persekolahan akan bermula tiga minggu saja lagi.
 
“Mak Su telah mencadangkan nama Angah untuk menjadi guru sementara. Jika sesuai dan serasi bolehlah selanjutnya Angah fikirkan untuk menyambung pelajaran di bidang perguruan. Sebab itulah Pak Su segera menelefon Angah dan Ibu”,ujar Kak Long panjang lebar.

“Angah dicadangkan menjadi guru Bahasa Inggeris? Setujukah dia?” Berkerut dahi ibu mendengar penjelasan apa yang telah berlaku semasa ibu tertidur tadi.

“Kata Angah, dia berminat juga. Hendak cuba dahulu. Sebab ada peluang sambung belajar”. Kak Long cuba menjelaskan dengan tenang supaya ibu tidak salah faham. Semalam Angah menolak cadangan ibu. Hari ini Angah menerima pula cadangan Pak Su dan Mak Su.

“Ibu izinkan Angah menerima cadangan Pak Su?” Kak Long cuba mendapatkan kepastiaan dari ibu.

Rasanya kalau Pak Su yang cadangkan ibu tidak membantah. Tambahan pula Pak Su satu-satunya adik yang ibu masih ada di dunia ini. Selama ini pun, ibu dan ayah telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Pak Su membimbing anak-beradik Kak Long.
Cuma Kak Long dan Uda yang jarang mengunjungi keluarga Pak Su. Mereka lebih senang membantu ayah dan ibu di Pasar Mini Berjaya di pekan Ulu Tiram. Pasar mini ini ayah warisi dari ibu bapanya kerana dia anak tunggal.

Sentiasa ibu nyatakan kepada anak-anak, ayah berharap salah seorang anaknya berminat mengembangkan perniagaan keluarga. Tetapi Angah seperti acuh tak acuh sahaja. Dia lebih berminat untuk menyambung pelajaran. Juga seperti mencari jalan untuk terus berjauhan dari ayah. Tambah bingung ibu.

“Ibu setuju saja jika Angah sudah buat keputusan dengan niat yang baik. Jadi guru memang baik, satu tugas mulia”.Terasa terlerai kekusutan di kotak fikiran ibu. Dada ibu yang terasa sesak dan sebak tiba-tiba terasa lapang dan tenang.

Di sudut hati ibu berdoa;  ‘Ya Allah, Engkau jadikanlah anak-anakku penenang hati dan penyejuk pandangan. Jadikanlah mereka sebaik-baik manusia yang membawa kebaikkan kepada manusia lain’.

Perlahan-lahan daun pintu bilik sembahyang Kolej Kediaman Siswi A terbuka. Wajah bujur sirih Ucu muncul mencari ibu dan Kak Long. Kelihatan riak muram di wajah lembut anak manja ibu. Begitulah biasanya apabila akan ibu tinggalkan di asrama, wajah manja itu sentiasa menagih simpati. Ibu rela Ucu menuntut di daerah yang jauh, berlatih untuk hidup lebih matang. Anak bongsu maupun anak sulung, tetap akan memikul tanggungjawab yang sama di hadapan Allah. Sebagai anak soleh dan solehah yang taat Allah dan patuh kepada ibu-bapa. Juga melakar jasa sepanjang hayat. Tiga beranak itu berjalan beriringan ke kereta Proton Saga berwarna biru muda metalik, model terbaru. Kereta sulung Kak Long yang Allah rezekikan berkat kegigihannya membantu perniagaan ayah.

Tidak Allah sia-siakan setiap kepatuhan kepada kedua ibu-bapa. Pasti beroleh ganjaran baik selagi di dunia lagi. Begitu juga sekiranya melakukan kedurhakaan terhadap ibu-bapa juga Allah segerakan mudaratnya selagi di dunia lagi. Hal itu yang sangat ibu khuatiri berlaku terhadap anak-anaknya. Ibu sangat khuatir Angah terlepas pandang hal ini. Telah juga ibu bincangkan dengan Pak Su hal ini.

Tentu sebagai ustaz, Pak Su ada cara yang sesuai untuk merungkaikannya. Besar sungguh harapan ibu, iginkan Angah menjadi anak yang soleh. Namun kini kerisauan itu telah terlerai. Syukur ibu punya seorang adik yang ikhlas membantu. Pak Su faham penanggungan ibu.

Ibu mahukan anak lelakinya melakar contoh yang baik untuk adik-adiknya. Juga menjadi anak soleh yang menyejukkan pandangan dan menteramkan hati kedua ibu-bapa. Kini hati ibu berbunga harap. Angah akan menyertai barisan pendidik yang berperanan mencorakan warna masyarakat masa hadapan… Gerimis halus mengiringi langkah ibu yang perlahan, tapi mantap. Menyelinap ke dasar hati yang berbunga harap. Mekar seiring persetujuan Angah menerima cadangan Pak Su. 

***
Begitulah isi cerpen tersebut, syukur hasil edit sifu Az utk cerpen pertama sy yg dibengkelkan di sini hanya 99% di edit oleh pihak majalah Mingguan Wanita, hanya pd susunan paragraf dan hanya beberapa patah prkataan yg diganti. Terima kasih juga kpd pihak majalah Mingguan wanita yg telah bermurah hati menyiarkan cerpen sulung sy dari bengkel sastera ini.-noraini eslah.


Gerimis Kasih; karya Sdr Ummu Anas

Thursday, September 24, 2009 // by Azmah Nordin // 5 comments

Sdr2, sekali lagi, dgn sgt2 bangganya, saya siarkan gambar cerpen `Gerimis Hati', karya Sdr Ummu Anas  (nama sebenarnya Noraini Eslah)   kita yg dibengkelkan di blog Sastera, terbitan Majalah Mingguan Wanita, September 2010. Tahniah  Ummu Anas :) gigih terus k






Monday, September 21, 2009

Penulis Muda, Cabaran & Idealisme

Monday, September 21, 2009 // by Azmah Nordin // 2 comments

(sdr2 sekalian :) semoga artikel saya yang telah terbit dlm majalah WADAH, edisi Jan 2012 ini, dpt memberi manfaat utk kita bersama.)

 Seringkali saya terdengar pelbagai pertanyaan dan keluhan penulis muda, antaranya; (a) bagaimanakan mahu mencari kekuatan untuk menyiapkan sesebuah karya? (b) Kenapa karya mereka yang digarap dengan begitu sempurna dari segi teknik penulisan dan gaya bahasa, ditolak bulat-bulat, sedangkan karya penulis mampan terus diburu oleh penerbit tersebut? Kenapa penulis mampan lebih mudah dapat laluan karyanya diterbitkan, dibandingkan dengan karya-karya penulis muda?  

Agak lama saya memikirkan bagaimana hendak menjawab soalan penulis-penulis muda ini. Sekali gus memikirkan apakah saya perlu turut berpolemik tentang posisi dan takrif penulis muda itu lagi ataupun tidak. Kerana semua orang sudah tahu bahawa penulis muda itu tidak mengira usia tetapi lebih fokus kepada usia kepengarangannya dalam bidang kreatif atau penulisan. Kalau seorang penulis itu sudah menulis dan menghasilkan beberapa buku contohnya, kita tidak boleh melabelkan beliau sebagai penulis muda walaupun usianya muda belia, tapi umur kepengarangannya sudah semakin matang.

 Dalam erti kata yang lain, penulis yang berusia muda ini, jika dalam penghasilan buku, sudah ditakdirkan lebih dahulu `makan garam’ daripada penulis yang berusia lanjut tetap baru mulai berjinak-jinak dengan dunia kepenulisan ini. Biar dalam usia apa pun, menghasilkan karya kreatif bukan suatu kerja yang mudah, itu yang pasti. Saya lalu kembali kepada persoalan (a) daripada penulis-penulis muda tadi. Sebagai jawapan, kiranya elok saya perturunkan semula 10 petuanya di sini; 

1. Tentukan masa untuk menulis dan anggaplah sebagai sesuatu yang suci; mcm memenuhi tanggungjawab apabila masa solat tiba. Begitulah tanggungjawab memenuhi waktu menulis. Masa yang sesuai yang dirasai masa anda paling kreatif – lewat malam? Dinihari? Subuh? Atau mengikut waktu pejabat biasa (macam yang saya lakukan?) Ataupun, anggaplah masa yang anda janji pada diri sendiri itu, macam masa yang anda janjikan utk memenuhi `dating’ dengan kekasih; mesti dipenuhi, mesti diutamakan, kalau tidak putus cinta. Kalau anda tak cinta, tak kisahlah kalau putus sekalipun kan? Anda malah mungkin sengaja cari pasal atau alasan untuk tidak meneruskan perhubungan itu. Tapi kalau anda sangat-sangat cinta...? 

2. Jauhkan diri atau ketepikan segala bentuk gangguan; tekan punat off pada peti televisyen. Silent/senyapkan telefon bunyi telefon, hanya jawab sms setelah anda siap tugasan (penulisan) pada hari itu. Tetapkan masa menulis semasa tiada orang di sekeliling anda. Atauun, macam saya, sumbatkan telinga dengan ear phone dan mainkan muzik drpada mp3 dengan sekuat yang boleh, supaya anda tidak terganggu dgn sebarang bunyi lain di sekitar anda.

 3. Pastikan hala tuju plot/jalan cerita anda. Biarpun plot, watak2 dan ceritanya mungkin akan berkembang pesat - hala tuju (mesej) tetap sama.

 4. Jangan tergugat melihat skrin computer anda yang kosong. Tulis saja apa yg terlintas dalam fikiran anda, tak perlu fikir tentang salah ejaan, salah tata bahasa dll lain-lain, kerana itu semua boleh diedit-perbaiki kemudiannya. Yang penting ceritanya dulu, biar mengalir macam sungai. Mulakan dari gelojak perasaan watak utamanya atau dari satu babak memalukan/memilukan/menyayat hati/menyeramkan/menggetarkan yg disusuli dengan imbas balik demi imbas balik sehingga terungkai mengapa ia boleh berlaku. Gunakan formula 4/5 daripada keseluruhan cerita, untuk memulakannya.

 5. Dari bab ke bab, pasti anda sudah ada buat draf secara mental. Tiada satu pun yang anda tulis akan kekal atau tidak boleh dipadam, selagi ia belum dihantar kepada penerbit atau sudah terbit. Apatah lagi jika manuskrip itu masih berada dalam tangan sendiri, anda boleh mengubah-perbaiki pada bila2 masa saja. Jadi, jangan ganggu pengaliran ceritanya semasa anda perturunkan ke atas skrin computer. Jika ada tidak berpuas hati dengan ejaan, jalan cerita, gaya bahasa dan sebagainya, ia boleh diubah kemudiannya. 

6. Jangan berasa anda perlu memulakan cerita dari titik permulaan atau mengikut urutan kronologi atau terlalu bergantung kpd draf asal novel anda. Masuk sepenuhnya ke dalam jiwa watak-watak utama yang menghadapi konflik hidup itu, dan gambarkan sepenuhnya dr sudut pandangan watak-watak tersebut. Kenali jiwa/perasaan/psikologi/kerjaya watak-watak utama anda dengan mendalam, supaya anda tidak berasa tertekan hingga tersangkut dalam proses penciptaan kreatif anda nanti.

 7. Berkaryalah tentang sesuatu yang anda suka, ini untuk mengelakkan daripada anda menghadapi buntu pemikiran atau Writers Block.

 8. Ulang kaji dan edit berulang-kali. Ini perlu dilakukan, setelah karya anda siap ditulis. Anda boleh tambah-cantikkan bahasa, susun-indah-kmplekkan ayat-ayat anda. Mana yang tidak berkaitan atau longgar, anda hanya perlu padam/delete daripada menyemakkan manuskrip novel anda. . 

9.Jangan ragu-ragu meletakkan diri anda di kalangan penulis lain. Buat satu senarai penulis yang baru menghasilkan beberapa buku-ragu secara sederhana saja mutunya, dan berkatalah pada diri sendiri `jika dia boleh buat, aku juga boleh – malah jauh lebih baik dariapda dia.’ Apa yg membezakan anda dengan si penulis itu, adalah kesungguhan mereka utk menghasilkan karya demi karya, dan jika mereka boleh, anda juga boleh, bukan? Sudah tentu akan ada ulasan dan krikan terhadap karya anda, begitu terbit nanti. Itu biasalah. Lagipun, hanya karya yang baik saja yang akan mendapat perhatian utk diulas atau dikritik – yang tidak baik, diabaikan, seolah-olah tidak pernah wujud. Jika ramai penulis top yg sanggup melalui pelbagai kritikan terhadap karya mereka – knp pula anda tidak, bukan? 

10. Hanya anda yang boleh menentukan sama ada karya anda sudah siap ataupun belum. Biarpun anda mungkin akan menunjukkan manuskrip anda kepada rakan2 yang memang pakar dlm penulisan kreatif – dan sebagai kawan, tentulah dia akan memuji karya anda utk menjaga hati – kerana itu adalah tugas mereka. 

Yang paling baik, adalah dengan menghakimi karya sendiri. Pemisah antara karya bermutu dengan tidak bermutu hanya satu – diri anda. Jadi, tentukanlah bila atau bagaimana anda mahu melihat karya anda lahir. Untuk persoalan b); Kenapakah karya yang setengah mati mereka garap dengan begitu sempurna teknik dan gaya penulisannya, ditolak bulat-bulat oleh pihak penerbitan, sebaik siap dinilai? Sekali lagi saya termenung panjang memikirkannya. Ya, kenapa karya yang ditulis proses penciptaannya, boleh ditolak mentah-mentah oleh pihak penerbit?

 Segera saya kembali ke zaman silam, 20 tahun yang lalu, semasa saya masih di tahap penulis muda.. Waktu itu, sama macam penulis muda sekarang, saya juga selalu penuh dengan gelojak, selalu saja andrenalin terpacu bukan alang kepalang, semangat juga meluap-luap untuk bangkit dan memperjuangkan nasib mereka yang saya anggap teraniaya oleh pihak-pihak tertentu - lewat penulisan. Apa yang buat semangat juang saya hidup dengan sebegitu rupa, sebenarnya?

 Sekelip lintasan menjelma. Segera saya ingat; Perjuangan! Dan setiap perjuangan itu tentulah berpaksikan kepada sebuah idealisme atau sebuah cita-cita besar pengarangnya! Bukankah itu yang dilakukan oleh setiap pengarang-pengarang Berjaya dan besar, selama ini? Yang pasti, sama ada sedar mahupun tidak, dalam kehidupan setiap insan – biar dalam bidang apa pun yang diceburi - mempunyai idealism atau sebuah cita-cita besar yang perlu dicapai sebagai tujuan hidupnya. Berniaga, berpolitik, hidup bermasyarakat, berbangsa yang berbudaya dan malah berkarya juga harus memiliki semangat idealisme yang jitu. Ini kerana mereka tidak sudi kewujudan mereka yang hanya sekali di dunia ini hanya sekadar pak turut semata-mata. Ini soal energi positif yang kita gelar idealism. Ini soal harga diri.. 

Hanya dengan dengan idealisme, seseorang pengarang akan memiliki prinsip hidup dan keteguhan diri untuk menegakkan idealisme itu dalam kehidupan sehari-hari. Hidup (yang dipersembahkan lewat karya) tanpa idealisme bak lauk pauk tanpa garam, tawar, dan hambar rasanya. Seorang pengarang tanpa idealism yang disalurkan lewat karyanya, ibaratkan sebuah mesin yang bergerak setiap saat, hanya untuk melaksanakan tugasan harian secara rutin – tanpa sebarang makna, sama ada kepada dirinya ataupun kepada masyarakat lingkungan, bangsa mahupun negara. 
Di jiwa para pengarang yang mempunyai idealisme, lazimnya membuak-buak dengan semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan lewat karya mereka. Berbeza dengan pengarang yang biasa-biasa, pengarang idealis lazimnya adalah seorang yang gigih mengasah bakat tanpa henti, bercita-cita besar dan tinggi, rajin belajar dan terus belajar memperbaiki kelemahan diri dan memperkukuhkan keupayaan dirinya dalam cara mempersembahkan perjuangan lewat karya penulisan kreatifnya, dengan agar mesej yang mengandung harapan untuk melihat pembaharuan dan perubahan, sampai kepada khalayak pembaca. (mungkin kita boleh bicara tentang idealisme ini, dengan lebih terperinci, dalam lain artikel) Jadi, kenapa karya yang begitu baik dari sudut proses penciptaannya dan sempurna pula dari sudut idealismenya, juga ditolak mentah-mentah oleh penerbit alas an tidak boleh jual? 

Barangkali, sebagai pengarang, kita perlu melihat dari sudut penerbit juga. Perlu sedar sepenuhnya bahawa buku adalah industri, bukan sekadar romantisme menuangkan seluruh gelojak perasaan dan buah fikiran yang meledak-ledak itu, ke dalam karya kita. Dan sebagai sebuah industri, sudah tentu pihak penerbit akan berfikir dari sudut perniagaan; bukan semata-mata dari segi pulangan keuntungan yang berlipat ganda, tapi dari sudut perundangan andainya karya kita yang mereka terbitkan kelak, menyentuh isu-isu sensitive dan menerbitkan kemarahan pihak-pihak tertentu.

 Wah, apakah itu bermakna seorang pengarang perlu korbankan idealism, semata-mata untuk melihat karya kita terbit di penerbitan tersebut? Sama sekali tidak. Pengarang tersebut harus berpegang teguh pada idealismenya. Cuma cara mempersembahkan mesej kita itu saja, yang perlu diperhalusi. Bukankah penulis penulis karya kreatif sastera? Berkreatiflah secara sastera. Banyak cara untuk mengatasinya, misalnya, dengan menulis cerpen atau novel satira. Secara tidak langsung, tiada seorang pun boleh menuduh atau mendakwa kononnya kita `menyerang’ peribadi sesiapa ingin kita `lawan.. Siapa makan cili, dia terasa pedas sendiri. Andainya dibaca oleh peribadi berkenaan pun, dia tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengarang ataupun penerbit yang menerbitkan karyanya, kerana ia sama sekali tidak menyebut tentang nama peribadi, jawatan, jabatan, kaum, negeri asal peribadi berkenaan dengan jelas.

 Malah, jika dia cuba mengambil tindakan undang-undang pun, bermakna dia sengaja membuka pekung di dadanya sendiri – sebab bukan semua orang tahu akan perbuatan jeliknya bukan? Dan untuk soalan (c) (d) Kenapa penulis mampan lebih mudah dapat laluan karyanya diterbitkan, dibandingkan dengan karya-karya penulis muda? Jawapannya mudah saja; sebelum penulis mampan itu menjadi penulis mampan, dia terlebih dahulu melalui detik-detik getir yang dilalui oleh setiap penulis muda sekarang. Dia belajar daripada kesilapan, dan berusaha memperbaiki diri dalam proses penciptaannya agar memenuhi piawaian pihak penerbit. Dia belajar memahami bahawa antara pihak penerbitan (terutama sekali para editor) hubungannya perlu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan. Dia belajar bahawa tiada sesuatu pun yang mudah diperolehi - berbaloi atau tahan lama. Kerja keras, termasuk memaksa diri untuk terus berkarya terus adalah antara ramuan untuk menjadi seorang pengarang mampan. 

Jadi, sekarang tiada lagi cabaran maha berat lagi menggerunkan penulis muda, bukan? Pasti anda pernah mendengar pepatah dalam bahasaInggeris; `publish or perish’, `publish’, bermakna karya anda diterbitkan oleh pelbagai pihak media massa untuk dibaca, dihayati dan dinikmati khalayak pembaca, atau `perish’, yang bermakna akan hilang begitu saja, tanpa diterbitkan. Andainya karya anda diterbitkan dibaca khalayak pembaca, bermakna anda sudah pun berjaya berkongsi idealisme dan menyampaikan mesej yang anda perjuangkan itu. Terserah kepada pembacalah untuk meneruskan perjuangan itu. Anda sudah laksanakan tanggungjawab di bahagian anda. Selagi anda menghasilkan karya dengan nawaitu yang murni (menegakkan keadilan, memperjuangkan nasib mereka yang teraniaya dan sebagainya), selagi itu hayat kepengarangan anda akan berpanjangan hingga ke penghujung usianya, insya Allah.

 Untuk itu, menulislah dan gigih terus k! 

Friday, September 18, 2009

Buku baru 2010 " Sahabat Sejati" (H2O)

Friday, September 18, 2009 // by H2O // 2 comments








Melentur buluh biar dari rebungnya. Cerita ditujukan kepada kanak-kanak.

Namun apa yang tersirat di dalam cerita tersebut adalah moral konsep 'synergy' apabila 1+1 = 3

Keterangan dari sumber bahasa inggeris (dengan izin) seperti dibawah :

synergy: It's a word that most of us are familiar with and yet one not so easy to define. It's when two or more people getting along and benefiting one another. It's when the combination of energies, resources, talents and efforts equals more than the sum of the parts--when 1+1=3 (or even more).

Fragmen "Sahabat Sejati" by Hussain Othman (H2O)

Thursday, September 10, 2009

Novel Remaja; Yang Paling Diminati?

Thursday, September 10, 2009 // by Azmah Nordin // // 5 comments

Apakah anda seorang penulis yang baik? Bagaimana hendak menjadi penulis yg terbaik - termasuk utk novel remaja? Sukar sangatkah? Perlu keluar byk belanjakah, Utk menghasilkannya?

Jom kita terokai bagaimana hendak mencari idea dan cara menghasilkan novel untuk remaja berusia 13 ke 15 tahun, dan apa yang paling menarik minat mereka utk membaca. Idea Penulisan Kreatif; Pembangunan Peribadi, Perhubungan Kekeluargaan, Kasih Sayang Sesama Insan, Pemilihan dan Peralihan.



Remaja belasan tahun, lazimnya mahu membaca novel yg ada kaitan dengan perasaan mereka, dan mahu melihat protagonisnya mampu mengatasi masalahnya sendirian - tanpa bantuan orang dewasa, secara langsung; misalnya, masalah hubungan antara mereka dan ibu bapa, adik beradik, masalah kekeluargaan, pencarian identiti dan jati diri, tekanan hidup; gangguan kaki buli dan sebagainya.Terutama sekali cerita-cerita yang mempunyai tema yg positif, mampu mencetuskan ispirasi, harapan dan dapat membantu pembaca mengatasi masalah peribadi mereka yang mungkin lebih kurang sama dengan masalah yang terpapar dlm novel tersebut.

Malah, cerita-cerita kembara dan fantasi juga mendapat tempat di hati para pembaca remaja. Mereka mencari watak utama (seperti manusia biasa di alam nyata) yg teguh semangatnya, yang sanggup berhadapan dengan apa jua rintangan yang mendatang; kerana ini mampu memberikan inspirasi kepada mereka utk mengatasi masalah mereka sendiri. Jadi, bagaimana menghasilkannya? Apabila anda menghasilkan karya, sebenarnya anda membentuk sebuah perkongsian dengan pembaca. Bukan hanya sekadar perkongsian kewangan - anda tulis dan mereka bayar untuk membacanya, tapi sesuatu yang jauh lebih dalam daripada itu. Ia seperti pertukaran suatu bentuk `tenaga'. Penulis terbaik, lazimnya, turut melibatkan emosi mereka semasa berkarya, dan pembaca akan mengutip perasaan yg disalurkan lewat karyanya.

Jadi, bagaimana anda tahu sama ada anda seorang penulis yg baik ataupun tidak? Sebenarnya, mana2 penulis pun, sama ada yg sudah mampan atau yang baru berjinak2 dengan penulisan kreatif, boleh tahu dengan sendirinya bahawa mereka penulis yg baik atau sebaliknya. Anda hanya perlu tanya diri anda sendiri; benar, proses kreatif itu sendiri sangat memenatkan, tp apakah anda pernah berasa terhibur - hingga mungkin tercetus semangat juang, keinsafan, kasih sayang sesama insan, seronok dan sebagainya - semasa mengembangkan cetusan idea yg bergelojak dalam jiwa, membentuk pelbagai watak dan perwatakan yg meyakinkan/logik, menciptakan pelbagai bentuk emosi yg akan berubah2 dari masa ke semasa, di sepanjang jalan cerita, plot demi plot yg mengejut-sentakkan perasaan dan mencabar minda, menggarap semuanya supaya kelihatan seperti menonton wayang secara minda, apabila dibaca kelak?

Dan, jika disuruh membaca karya itu sendiri, begitu terbit, apakah anda rasa anda tetap akan berasa terhibur juga - seperti yg reaksi yg anda harap drpd pembaca novel anda? Itu saja yg perlu anda tanya kpd diri anda sendiri. Jika jawapan anda `Ya', terbukti anda adalah seorang penulis yang baik. Betul2 baik. Teramat sangat baiknya.

Permainan Penulisan


Terbukti sudah, hanya penulis yg mampu menghiburkan diri sendiri dengan karyanya setelah terbit sajalah, boleh dianggap sebagai penulis yang mampu menghiburkan pembacanya. Tapi, jika penulis itu berkarya sekadar utk memenuhi tugasan yg diberi Bos, dan karyanya lebih bersifat permukaan semata-mata, mendatar (tidak hidup) tanpa sebarang dorongan semangat juang (sbb bukan dtg dari hati sendiri), tanpa idea yg segar dan memberansangkan diri (krana tiada usaha utk menjana idea yg bukan pun miliknya sedari awal lagi) dan tanpa terapan nilai-nilai murni (sbb memang pun ceritanya tidak diyakini dgn seluruh jiwa dan raga), dengan sendiri, dengan sendiri, penulis itu boleh tau hasil karyanya akan lahir nanti bagaimana kesannya. Tidak baik. Sangat2 tidak baik. Teruk. Dahsyat!

Menjadikan Karya anda Teman Kpd Pembaca?

Bayangkan begini; seorang remaja masuk kedai buku. Antara ratusan atau ribuan buku, remaja itu akhirnya memilih buku anda untuk dibeli dan dibaca. Apa maknanya, di sebalik pemilihan itu, jika tidak bertujuan utk berkomunikasi dengan anda, pengarangnya, secara tidak langsung? Semua pembaca novel pun sama; mencari karya yang boleh menghiburkan, sekaligus bijaksana, lucu, nakal dan boleh diperbahas-bincangkan secara matang sesama rakan pembaca. Dan, paling utama, mereka membaca karya anda utk berhubungan dengan minda anda, lewat karya. Mereka akan berasa rapat dengan pengarang, biarpun mungkin mereka tidak pernah bersua muka secara peribadi.

Pengaliran Emosi atau Tenaga;

Ok, katakanlah anda menghasilkan karya suspen. Watak utamanya gadis remaja berusia 13 tahun, dia dan seorang penjaganya dlm perjalanan ke rumah keluarga angkat barunya Wilayah Persekutuan Labuan. Pesawat yang ditumpanginya terhempat di tengah Laut Cina Selatan, dan hanya gadis itu seorang yang selamat, terapung2 di permukaan laut, dilarikan arus laut. Ketika berpaut pd sesuatu yg terapung2 di permukaan laut, gadis yang mungkin antara sedar dgn tidak itu, akan teringat kembali siapa yang paling rapat dengan dia, di mana dia membesar, kawan2 dia, dan apa yg buat dia boleh berapa dalam keadaan sekarang.

Dan, sebagai penulis, anda seharusnya mengizinkan diri anda `masuk' ke dalam jiwa gadis itu, mengalami apa yg dialami, melihat segalanya melalui matanya, merasa gelojak perasaan yg dirasainya. Sepatutnya, sambil anda membina plot demi plot, latar demi latar dll, dada anda terus berdebar kencang, sekencang dada watak utama yg anda bentuk itu. Begitu watak utama anda menggelepar ketakutan apabila terlihat sirip ikan jerong, anda jugas seharusnya turut melonjak secara dalaman oleh ketakutan yg sama seperti gadis itu - jika tidak pun terlonjak dari kerusi yg anda duduki di hadapan skrin konmputer anda. Rasa takut yang anda rasai semasa menggarap-gambarkan senario dlm cerita ini, diterjemahkan dlm perkataan yang pelbagai rentak pada mukasurat anda.

Jika anda dapat `masuk' ke dalam jiwa watak gadis itu, pembaca dengan mudah akan menangkap rasa takut anda, pada setiap butir perkataan yang anda susun sebegitu rupa - dah, nah dari situ, berlakulah suatu pengaliran emosi antara pengarang dan pembaca yang dipanggil `tenaga' yg disebut di atas tadi. Tapi, jika anda tidak mengizinkan diri anda untuk turut merasai semua ketakutan suasana yang anda gambarkan dalam cerita anda, tidak mengizinkan daya khayal anda yang terlepas bebas utk menerokai alam sekitarnya, secara tidak langsung anda sudah menghalang pengaliran `tenaga' daripada berlaku. Pembaca pasti merasa akan kekosongan atau kehilangan sesuatu daripada karya anda yg dibacanya (mungkin dibaca separuh jalan cuma). Berakibat drpd itu, mereka gagal menghubungkan diri mereka dgn karya anda. Secara tidak langsung, karya itu gagal.

Bebaskanlah Perasaan Anda Semasa Berkarya

Sebagai penulis, sewajarnyalah anda juga mampu mempunyai emosi seperti yg dimiliki oleh insan yg lain; misalnya, ketawa, menangis, riang, bimbang, takut, marah, berduka, kagum, terpegun kehairanan, jatuh cinta, benci, cemburu dan sebagainya. Semua perasaan ini penting, supaya anda boleh terapkan perasaan itu ke dalam jiwa watak2 dlm karya yg cuba anda hidupkan kelak. Caranya mudah saja; bertindak secara spontan. Tulisan yang kaya dengan `tenaga/emosi' adalah apabila penulisnya mengizinkan perasaannya mengalir bebas semasa melaksanakan proses penulisan kreatif.

Perasaan cuma; bukan perlu wang juga kan?