• LinkedIn
  • Join Us on Google Plus!
  • Subcribe to Our RSS Feed

Saturday, January 24, 2009

Bercak

Saturday, January 24, 2009 // by Azmah Nordin // // No comments

(Sekadar nak berkongsi dgn pengunjung yg dtg dari luar negara dan tidak dpt membelinya di sana. Ini adalah salah satu cerpen saya yg terbit di Dewan Sastera, kemudian diterbitkan dlm antologi persendirian saya, Titian Gelora. Jutaan Terima Kasih Buat Dewan Sastera, DBP :) Ia ttg kekasih sejenis yg menyebarkan virus komputer sama macam menyebarkan virus AIDs)

------------------


Bercak



ALANGKAH gementarnya dia! Bagaimana mungkin dia mempercayai semuanya ini, apatah lagi untuk menerimanya! Aduuuh ...! Benarkah kasih itu semangat yang buta? Benarkah kasih itu tidak bersekutu dengan bijak? Benarkah? Rintih Tuan Besar atau nama panggilannya T.B., kesayuan.

(Hei, tidak! Aku tidak berdusta. Komputer itu benar-
benar.... Mempermainkanku!)


Karut! Bentak hatinya. Dia mengeluh singkat dan menepis gambaran wajah Toni yang tersirat berjuta rasa pilu itu ke tepi. Karut! Karut! Karuuut ...! Argh! Toniku sayang!



Ketika dia keluar dari kereta mewahnya, merempuh angin yang menderu-deru kencang, dia tersentak melihat pintu banglo itu terbuka luas. Nafasnya sesak bagaikan
dirayapi virus komputer yang tujuannya memang untuk mensabotaj hidupnya: Virus yang menghapuskan data, menghidupkan program atau memformatkan kembali disket
mahupun hard disk yang ada dalam memori komputer hidupnya. Virus yg kian hari kian banyak dan sukar dikesan melalui mata kasar.

Dengan tak semena-mena, dia tersendu keharuan. Matanya yg merah kerana kurang tidur, terus meliar resah. Rambutnya yg jarang di bahagian atas itu, terkirai-kirai dipuput angin. Dia terkedip2 mata apabila terasa titik hujan yang mula turun, bergayutan berat di bulu matanya. Petir sambar-menyambar, membelah angkasa. Tubuh gendutnya yang bersalutkan pakaian dariapda kain yang serba mewah, terus tersandar lesu di dinding kereta mewah itu.


(Aku cinta padamu, bang. Aku sanggup melakukan apa saja bang, untuk mu. Apa saja. Tapi... ia menakutkan! Sungguh!)


T.B. menggeleng, mengancing gigi. Dia terus merenung banglo yg dibelikan untuk Toni, suatu ketika dahulu. Banglo itu kini kelihatan bak raksasa yang mahu mencengkamnya Lampu candelier yg terpasang di ruang tamu bergerak terliuk-liuk ditiup angin. Seolah-olah menggamitnya datang. Seolah-olah menggodanya. Hujan turun semakin lama semakin lebat.

Pandangannya menerawang, menerobos langit yang gelap, dan suasana yg agat hangt siang tadi telah berubah menjadi dingin mencengkam. Malah, gelombang bunyi yg terbit daripada suasana persekitara yg hening itu, mengundang semacam rasa seram campur geram ke dalam jiwanya.

(Datanglah, bang. Datanglah, aku rindu. Aku takut...!)


Terus terang, dia ingin sekali memecut keretanya meninggalkan tempat yang mengggerunkan itu. Alangkah rahmatnya jika dia tidak perlu terlibat menghadapinya. Dia tidak berupaya menolak, biarpun sesungguhnya dia mahu sekali. Dia tidak berupaya.

"Argh! Terperangkapkah aku?" desisnya sendirian. Sejurus, dia mengancing gigi. "Huh! Aku cuma akan terperangkap, jika aku izinkan saja! Jika aku izinkan saja!"

Namun, kesedaran tentang wujudnya malapetaka yang berpunca daripada virus itu memang ada. Tapi ... ah! Dia beranggapan bahawa perkara seperti itu sesuatu yang tidak
akan terjadi terhadapnya! Biar berada dalam keadaan segenting mana sekalipun, tidak pernah dia merasa kemungkinan ia berlaku kepadanya atau kepada Toni, perlu diper-
hitungkan. Dia sudah cukup berhati-hati. Dia percaya, Toni juga sentiasa berwaspada agar malapetaka seperti itu tidak menghinggapi mereka. Selama ini, dia cukup yakin dengan kesetiaan Toni, biarpun dia sendiri tidak pernah setia kepada Toni. Toni masih mentah. Masih hijau. Masih boleh dibentuk. Masih percaya bahawa cinta suci itu hanya untuk seorang lelaki. Dan dialah lelaki itu, tentunya. Toni masih innocent.

(Aku tak mahu melakukannya lagi, bang. Aku takut.
Semua fius sudah tercabut dari soketnya. Arus elektriknya
telah kumatikan di punat offnya. Tetapi, ia terns berfungsi.
Benar, aku tak sengaja mereka ciptakannya! Tidak!)


T.B. menghela nafas yang terasa menyendat dalam
dadanya. Argh! Toni masih mentah. Masih hijau. Masih in-
nocent!

Demikianlah pada fikirannya, sehinggalah benaknya ngilu bagai ditusuk desitan virus komputer yang maha dahsyat. Desitan virus yang tercetus daripada kecuaian
sikap Toni itu memang di luar dugaan. Amat mengecewakan. la semacam pisau bermata dua, menghiris kewarasannya, terus-terusan.

"Sudah berapa kali aku jelaskan, bang!" bentak Toni
melalui corong telefon, beberapa ketika tadi. "Disket gratis
yang abang belikan untukku itulah yang merupakan sumber
malapetaka terawal!"

"Toni...! Kaufikir aku siapa?" desis T.B., selaku jurutera komputer yang kini sudah menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya-raya. "Aku tahu, perkara seperti itu tidak mungkin boleh berlaku, malah tidak munasabah."

"Jadi, hakikatnya, abang mempersoalkan kesetiaanku, bukan?" sela Toni, tersedu-sedan dengan esak tangisnya.

"Apa yang kau mahu aku kata lagi, Toni? Ah, ini bukan
saja soal setia atau tidaknya sikapmu, Toni. Bukan!" tegas
T.B. penuh arif. "Heh! Janganlah nak harapkan aku ber-
tanggungjawab atas kecuaianmu. Kesihatanku, seratus
peratus O.K.... Kalau tak percaya, pergi tanya doktorku. Jadi,
tentulah apa yang berlaku atas dirimu, tiada kena-mengena
denganku. Tak adillah nak tuduh aku yang bukan-bukan...."

"Sampai hati abang berkata begitu," rintih Toni, melalui telefon itu. "Mengapa harus ada kesangsian? Tidakkah kautahu? Sama ada sebagai computer programmer ataupun
kekasihmu, aku sentiasa setia kepadamu. Tapi ... disket komputer yang mengandungi program menarik yang kaubelikan itu.... Sewaktu menggunakannya di rumahku, aku
seperti terkena renjatan elektrik buat beberapa detik. Tanpa kusedari, virus yang disisipkan di disket itu, menular ke tubuhku. Benar. Percayalah ...!

"Hebat!" desis T.B. dan dia mendengus kasar.

"Bang! Kau yang bertanggungjawab menjadi alat perantaraan antara virus itu dengan aku! Kau!" jerkah Toni,hilang sabar. "Tubuhku kini sudah penuh dengan virus. Kau
menggunakan tubuhku, sama seperti kau menggunakan kemahiranku dalam memprogramkan komputer yang mengaut keuntungan. Jika keuntungannya kita nikmati ber-
sama, mengapa tidak virusnya? Padahal, kita yang ber-
tanggungjawab menciptanya!"

"Cuba bawa bertenang," pujuk T.B., keresahan. Dia bimbang juga jika konflik antara dia dengan Toni itu akan sampai ke pengetahuan isteri dan anak-anaknya. Argh! Kacau
jadinya nanti. "Toni, cuba bawa bertenang. Be rasional ...baby."

Beberapa detik itu, Toni tidak menjawab. Kedengaran
nafasnya dihela panjang lagi berat. Sedu-sedannya kian
mereda.

"Bang... datanglah ke rumahku," rayu Toni, lembut tetapi parau. "Datanglah ... aku memerlukanmu. Dan, aku juga perlu membuktikan yang aku tidak berbohong. Aku mahu kau-
periksa sendiri komputer yang rosak ditimpa virus itu. Datanglah, bang. Please ...!"

Secepat itu, T.B. mengancing gigi, menggenggam penumbuk gemuknya. Dia mengisar punggung di kerusi empuk di dalam bilik bacaan di banglonya sendiri. Perasaan
himbang dan geram bercampur-baur dalam dadanya. Bimbang jika perbualannya dengan Toni itu sampai kependengaran isterinya yang sedang membaca majalah hiburan. Geram kepada Toni yang menduakannya!

"Bang ... datanglah," rayu Toni lagi. "Datanglah."

"Aku sibuk," tepis T.B., pantas. Dia mengeluh resah.

"Err... Toni, aku fikir, buat ketika ini, lebih baik jika kita cool down
saja...."

"Maksudmu ... putuskan hubungan kita?"

"Terserah."

"Begitu mudah?" tingkah Toni, bagaikan terhina. Tapi,
tiba-tiba dia ketawa terbahak-bahak bagaikan orang yang
hilang akal. Sejurus kemudian, dia menghela nafas. "Baiklah,
aku beri masa setengah jam saja. Kalau abang tak sampai di
bangloku pada waktu itu, seluruh dunia akan tentang kita!"

Dengan api kemarahan yang menanjak ke ubun-ubunnya,
bersama-sama kepiluan yang amat pedih mercup dalam nada
suaranya, Toni menghempaskan gagang telefon itu. T.B.
tersentak nafas tiba-tiba. Buat beberapa detik, T.B. termangu
bagai ditimpa malapetaka.

(Komputer itu ... komputer itu ... mempermainkanku^)

Nampaknya hukum Murphy mendapat seorang lagi mangsa! Tapi, mengapa dia yang kena? Hatinya menyumpah-nyumpah Amjaad Farooq Alvi dan Basit Faroow Alvi, pemilik kedai Brain Computer Services di Lahore, Pakistan yang menjadi orang yang mula-mula mencipta dan menyebarluaskan virus itu. Tiba-tiba dia tergelak sendirian. Aneh, kini dia sendiri mula keliru antara virus perosak komputer dengan virus yang memusnahkan hidupnya dengan mengurangkan daya tahan seseorang mangsa. Dia keliru terus. Padahal, mereka sudah cukup berhati-hati. Seperti memelihara kesihatan tubuh, mereka melindungi data atau program komputer mereka dengan password. Jadi, bagaimana mungkin virus masih mampu menembusi pertahanan mereka, masih mampu menular ke dalam komputer dan tubuh gebu Toni. Argh! Adakah virus seperti itu juga
harus dibiarkan menular ke dalam salur nadiku? Hisy ...! dengus hatinya, kerusuhan.

(Datanglah, bang ... datanglah. Kalau tidak ...\).

Dan kini, pada saat ini, seperti seorang kekasih yang bodoh, dia tersandar terus di dinding kereta mewahnya. Di luar titik-titik hujan kian lebat. Di sana sini, guruh berdentum-dentum. Kilat sambar-menyambar. Dia terus merenung pintu banglo yang terbuka luas yang bagaikan menjemput tempias hujan masuk bertamu. Serta-merta dia
terbayangkan Toni yang lembut gemalai. Toni yang pernah membuatkan tubuhnya panas tidak keruan. Argh! Toni, Toniii ...!

T.B. memejamkan matanya rapat-rapat, membiarkan air matanya mengalir bersama-sama titisan hujan yang melenjuni tubuhnya. Nafasnya sesak. Dadanya sebak. Dia
nampak sepasang kekasih dua sejoli, ataupun sepasang mahasiswa ataupun sepasang teruna yang mempunyai higher mentality, jika dibandingkan dengan mereka yang
lain. Mahasiswa yang senior itu ialah dirinya dan yang berada dalam tahun satu itu ialah Toni, mahasiswa yang mengikuti kursus kejuruteraan komputer. Entah mengapa, setelah mahir dan faham akan sistem operasi, tumbuh pula keinginan mereka untuk menunjukkan eksistensi dengan mencipta program yang destruktif, tetapi seronok. Nikmatnya hingga tidak terkata-kata!

Selama yang pernah diingat, sebaik dia meninggalkan tempat pengajian tinggi dengan kejayaan cemerlang, dia langsung mewarisi kedai komputer setelah bapanya
meninggal. Selang beberapa tahun, Toni dijemput menyertai perniagaannya. Apa lagi, dengan berkongsi kemahiran dan kesungguhan, mereka berjaya mencipta dan
menyebarluaskan virus terbaru melalui disket-disket yang mereka perniagakan. Namun, dalam masa yang sama, mereka mencipta sejenis program baru bagi melindungi
paket-paket software untuk dijadikan barangan dagangan juga.

"Hisy! Perbuatan kita ini macam pisau bermata dua,"ujar Toni suatu ketika dahulu. Dia seperti serba tak kena.

"Mencipta virus perosak komputer sekali gus mencipta
antivirusnya pula. Macam Tuhan, berkuasa mencipta dan
memusnahkan sesuatu...."

Tuhan? Tanya hati T.B. Dengan tidak semena-mena, dia tergelak. Lucu, dalam dunia yang serba canggih dengan teknologi, masih memikirkan tentang kuasa Tuhan? Amat
lucu. Lagipun, kurang tepat perbandingan Toni itu. Tuhan tidak menghadapi masalah saingan dalam mencipta sesuatu menurut kehendak-Nya. Tidak seperti dia. Perniagaan formula virus dan antivirus sendiri tidak begitu cerah masa depannya. Lebih-lebih lagi formula seperti itu bukannya formula ajaib, biarpun kisah cinta antara dia dengan Toni boleh dianggap ajaib atau ganjil. Formula antivirus tidak
berupaya mengatasi semua kerosakan secara sempurna. Itu yang membingungkan T.B., setiap saat.

"Perlu dilakukan sesuatu," ujar T.B.

"Apa?" tanya Toni yang bersedia melakukan apa saja,
demi T.B. Apa saja.

T.B. tersenyum penuh rahsia. Dan, di dalam bilik bacaan peribadi Toni itulah dia menempatkan sebuah pangkalan komputer UNIVAC. Setiap masa kosongnya dihabiskan di
bilik bacaan itu, jika tidak pun di bilik tidur Toni. Di situlah, dengan gabungan kemahiran yang ada padanya dan pada Toni, mereka memindahkan wang ringgit negara ke akaun mereka di bank-bank di Switzerland. Begitu mudah melakukannya kerana komputer UNIVAC tersambung secara rangkaian luas (wide area network) ke rangkaian komputer
antarabangsa dengan menggunakan talian telekomunikasi khas. Argh! Begitu mudah!

"Mengapa tercegat saja di situ? Mengapa tak masuk?"
desis suatu suara lembut tetapi parau, tiba-tiba. "Mengapa?
Takut terjangkit, ya?"

T.B. yang masih tersandar di dinding kereta mewahnya, tersentak daripada lamunannya, serta-merta. Matanya yang berbinar-binar itu, berkisar liar di sekitar kawasan yang
diserkup suasana senja yang kian gelap. Angin terus menderu kencang. Petir sambar-menyambar. Guruh berdentum-dentum, bagaikan sedang mengamuk. Sejurus, dia dapat
melihat sesusuk tubuh seorang pemuda yang berwajah cornel lagi ayu, disinari cahaya kilat yang memercik di angkasa. Serta-merta hati T.B. rnenjadi geram tetapi rindu.
Argh! Toni!

"Jangan bimbang," pujuk Toni yang basah kuyup seperti juga T.B. kerana ditimpa hujan. "Saya takkan sentuh abang ... kalau abang tak sudi. Saya tak mungkin tergamak
menularkan virus ini kepada abang, percayalah. Tapi, kalau abang ingin melihat komputer itu, masuklah ... ke rumahku ... bang."

T.B. mengeluh singkat. Tanpa berlengah, biarpun agak teragak-agak, dia bergegas rnengekori Toni menuju ke bilik bacaan di tingkat bawah banglo itu. Dia tercegat beberapa meter dari Toni yang berhenti di hadapan komputer itu. Buat beberapa ketika, dia termangu kebodoh-bodohan.

Matanya tersengkang ]uas, memandang ke arah sebuah pangkalan komputer UNIVAC di atas sebuah meja. Dia tidak nampak lagi bingkai kaca berbentuk hati di sisi komputer
itu. Malah, gambar Toni berpelukan mesra bersama-samanya yang terselit di dalam bingkai kaca itu juga tidak menarik perhatiannya. Pandangannya tertumpu ke arah
skrin komputer.

(Hei, tidak. Aku tidak berdusta. Komputer itu benar-benar
... mempermainkanku).


Mata T.B. terus terkebil-kebil memerhatikan layar komputer UNIVAC itu. Tampilan layar saat virus komputer itu berfungsi, kelihatan berbeza-beza. Ada yang mem bentuk
kotak hitam di layar, atau seperti bola pingpong yang menggila-gila, tidak tentu arah.

(Aku cinta padamu, bang. Aku sanggup melakukan apa saja, bang, untukmu. Apa saja. Tapi ... ia menakutkan. Sungguh!)

"Virus apa ini? Virus marijuana? Virus pingpong? Virus Yeruselam? Atau ... virus Aids?" desis T.B. tanpa sedar. Dia bagaikan terpukau pula. Toni terus mengetik punat komputer itu.

(Aku tak mahu melakukannya lagi, bang, Aku takut. Semua fius sudah kucabut dan soketnya. Arus elektriknya
telah...).


Tiba-tiba T.B. terdengar bunyi aneh keluar dari skrin komputer itu. Talian komputer yang tercabut dari soketnya dan tidak lagi mengalirkan arus elektrik ke komputer itu
kini melibas-libas di udara. Begitu pun, komputer itu seperti terus hidup sambil memancar-mancar cahaya berwarna ungu kehijauan bersama-sama bau yang sebusuk bau
lubang neraka jahanam!

"Toni ...! Lari!" jeritnya, setelah tersedar daripada keadaan terpukaunya tadi. Komputer itu bagaikan hidup dengan sendirinya.

Toni yang paling hampir dengan komputer itu, tercengang melihat komputer itu. Dan kemudian, dia menjerit nyaring, berbaur dengan bunyi aneh dari komputer yang
kian lama kian menggerunkan itu. la seperti mahu membalas dendam kerana disalahgunakan orang. Talian komputer itu melibas-libas terus. Toni cuba
menepisnya lagi. Tetapi talian itu terus menangkap dan merangkul tubuh gebu Toni yang dijangkiti virus Aids itu. Toni yang menjerit-jerit, terangkat ke arah skrin komputer. Di skrin komputer kelihatan seolah-olah ada sebuah mulut
yang kecil tetapi mempunyai taring yang panjang. Taring itu terus menggigit dan terus mengunyah daging tubuh Toni dengan penuh selera, sedikit demi sedikit. Toni terus menjerit dan meronta-ronta kesakitan. Darahnya memancut di mana-mana.
T.B. melonjak tangkas dan cuba melepaskan Toni daripada pelukan talian komputer. Tetapi talian lain di komputer pula melibas-libas ke arahnya dan menangkap kaki T.B. buat seketika. T.B. bergelut untuk melepaskan kakinya. Dia sempat memandang ke arah komputer yang kini kelihatan seperti lembaga hitam yang menggerunkan. Beberapa talian
komputer yang lain melonjak keluar dari "mulut" komputer itu dan cuba menangkapnya.
Dengan segala kekuatan, dalam kengiluan apabila terdengar ratapan dan raungan Toni yang ngeri, dalam suasana yang haru-biru, T.B. berjaya melepaskan diri. Tanpa menoleh lagi, dia meluru keluar dan terus melarikan diri dengan kereta mewahnya. Cuping telinganya sempat menangkap bunyi jeritan Toni, di kejauhan. Namun, dia
tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Lantas, dia tersendu keharuan.

(Aku cinta padamu, bang. Aku sanggup melakukan apa saja bang, untukmu. Apa saja....).

"Maafkan aku, Toni. Maafkan aku," desisnya keharuan. Mustahil! Desis hatinya, setelah beberapa hari kejadian ngeri itu berlaku. Mustahil mereka tidak menemukan mayat Toni. Mustahil bilik bacaan tempat peristiwa itu berlaku kelihatan begitu bersih dan kemas. Mustahil tidak setitis pun darah Toni ditemui di situ! Mustahil Toni ghaib begitu saja!

"Mungkin Toni pergi melancong ke luar negara," pujuk setiausahanya, tempoh hari.

"Mungkin Toni mahu bersendirian untuk memikirkan masa depannya," pujuk salah seorang sahabatnya.

"Mungkin Toni sudah mendapat kekasih baru," sela isterinya, sinis.

T.B. mengeluh resah. Sejak peristiwa ngeri itu, dia banyak mengurungkan diri di dalam bilik bacaannya. Entah mengapa, setelah beberapa hari berlalu, tanpa sebarang
berita tentang Toni biarpun daripada pembantu rumahnya, T.B. mula meragui kewarasannya sendiri. Argh! Adakah peristiwa yang kusaksikan tempoh hari hanyalah khayalan liarku semata-mata? Ya, mungkin juga. Mungkin juga. Lantas, dia mengeluh lega. Dia terus bersandar di kerusi empuk, di bilik bacaannya itu.

Dengan tidak semena-mena, bulu tengkuknya meremang tegak. Seperti ada sesuatu yang mengarahkan matanya untuk melihat ke arah komputer di atas mejanya. Tiba-tiba
ada bunyi aneh keluar dari skrin komputer itu bersama-sama bau busukmelantung. Kelihatan jumlah titik-titik yang terbit di skrin komputer itu mula membentuk wajah seorang pemuda cornel lagi ayu, macam dalam video game. Tapi...arus elektriknya sudah dimatikan! (... Datang ... aku datanglah ni, bang. Aku datanglah ni,
bang).

"Toni!" ujar T.B., tersentak gempar.

"Yalah, akulahyangsedangbercakapdengan abangni,"
keluh Toni yang sedang menunggangi virus-virus komputer
pelbagai jenis di skrin itu. "Aku datanglah ni, bang. Aku
rindu padamu. Tanpa abang, siapalah aku. Kita berdua
saling memerlukan, saling melengkapi. Aku datanglah ni,
bang.... Hik, hik, hiliiik ...!Argh! Nikmatnya

T.B. melonjak bangun, lalu meluru ke pintu. Malangnya.
kakinya tersangkut di salah satu talian komputer yang entah
dari mana datangnya. Dia terus tersepuk di lantai.

"Ya, Tuhan! Tolong!" jerit T.B. kerusuhan. "Tolong ...!"
Talian komputer itu melibas terus. Ganas!


Wednesday, January 14, 2009

Tekad Murni; karya Sdr Ummu Anas

Wednesday, January 14, 2009 // by Azmah Nordin // 18 comments

Sdr2 sekelian, sekali lagi, dgn tersgt bangganya, saya menyiarkan gambar cerpen `Tekad Murni', hasil karya Sdr Ummu Anas/Norainai Eslah  kita. Cerpen Tekad Murni yg baru terbit di majalah  Mingguan Wanita
14-20 Januari 2011, adalah juga hasil dari kelas bimbingan blog Sastera kita ini  :)  Tahniah Ummu Anas!  Saya juga berharap,  dapatlah  Sdr Ummu Anas  menyiarkan keseluruhan cerpen Tekad Murni di blog kita ini,  utk memudahkan para peserta kelas bimbingan dan pengunjung blog kita membaca dan mempelajari sesuatu drpdnya, selepas tempoh tarikh 20 Januari nanti.  Tahniah sekali lagi UmmuAnas   :) :) :)